Amira Othman Sedia Galas Tugas Ibu Tiri

Amira Othman Sedia Galas Tugas Ibu Tiri

Selepas bergelar isteri kepada Fattah Amin, penyanyi Amira Othman kini bersedia memikul tanggungjawab baharu sebagai ibu tiri kepada Nur Fatima Aisya iaitu anak hasil perkahwinan terdahulu suaminya.

Pemilik nama penuh Nadia Amira Othman berkata, perkara itu bukanlah beban kerana sejak awal dia sudah menerima status Fattah seadanya.

“Siapa pun pasangan yang kita pilih, kita kena terima seluruh kehidupannya. Begitu juga dengan Fattah yang menerima saya dalam apa jua keadaan.

“Saya tak rasa terbeban sebab saya sendiri sukakan kanak-kanak. Jadi, insya-Allah semua akan baik,” katanya.

Tambah pelantun lagu Hat-Hati itu, dia menegaskan perkahwinan merupakan fasa baharu yang perlu ditempuh dengan sabar dan doa.

“Kalau tanya saya bersedia atau tidak, jawapannya tiada siapa yang benar-benar tahu.

“Apa yang penting, saya mahu lalui setiap fasa dengan baik dan cuba jadi isteri yang terbaik untuk Fattah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pasangan ini selamat diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Sepang, pada malam Ahad lalu.

Fattah dan Amira dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

Fatima merupakan anak hasil perkahwinan Fattah dengan bekas isteri, aktres, Nur Fazura. Mereka mendirikan rumah tangga pada November 2017, namun berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.

Related post

Leave a Reply