AIM24: Aina Abdul Bolot 4 Kategori, Dayang Nurfaizah Menang Album Terbaik

AIM24: Aina Abdul Bolot 4 Kategori, Dayang Nurfaizah Menang Album Terbaik

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, pada Sabtu menyaksikan penyanyi berbakat besar, Aina Abdul, mencatat kejayaan luar biasa apabila membawa pulang empat anugerah utama.

Lagu ciptaan sepenuhnya Aina berjudul Jangan Mati Rasa Itu bukan sahaja dinobatkan sebagai Lagu Terbaik, malah turut memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik.

Selain itu, Aina turut meraih trofi Rakaman Album Terbaik menerusi Imaji Deluxe Edition yang diumumkan lebih awal pada majlis pra-anugerah.

Turut mencuri perhatian, Dayang Nurfaizah melakar sejarah peribadi apabila album Belagu II dipilih sebagai Album Terbaik, sekali gus melayakkannya menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Bukan itu sahaja, Dayang juga meraih kemenangan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi karya Rindu Menyapa.

Sementara itu, Faizal Tahir tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih tiga kemenangan. Faizal bersama Datuk M. Nasir mengungguli kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik melalui lagu Campak Bintang, selain memenangi kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Biar Satu Dunia Tahu bersama kumpulan Mirwana, serta Lagu Perpaduan Terbaik melalui karya patriotik Bendera.

Kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini turut menyaksikan Ernie Zakri memahat nama apabila gandingannya bersama komposer Indonesia, Ade Govinda menerusi lagu Masing-Masing diumumkan sebagai Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.

Lagu sama juga dinobatkan sebagai Lagu Paling Tinggi Distrim, manakala karya lain nyanyiannya, Aura, dipilih sebagai Rakaman Lagu Terbaik.

Bintang baharu Reynald Guntabid pula mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik selain membawa pulang trofi Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Lumangad Oku Dika.

Anugerah berprestij ini turut memberikan penghormatan tertinggi kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan sumbangan dan legasinya dalam industri muzik tanah air.

Dalam kategori lain, beberapa pemenang turut diraikan. Inteam diumumkan sebagai pemenang Vokal Kumpulan Terbaik dengan lagu Nasab Nabi, manakala Mafidz dinobatkan sebagai Kugiran Terbaik melalui karya Teleportasi.

Trofi Muzik Video Terbaik menjadi milik KRU menerusi Vodoo, dan Hasrat nyanyian Amir Jahari dipilih sebagai Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem atau Drama.

Bagi kategori genre pula, Akim & The Majistret menang Lagu Rock Terbaik melalui Saksama, manakala Salammusik dan Namewee dinobatkan sebagai pemenang Lagu Rap/Hip Hop Terbaik dengan lagu Dannok. Kategori Lagu Pop Elektronik Terbaik dimenangi oleh Mimifly menerusi Angkat.

Di samping itu, Daiyan Trisha muncul pemenang Lagu Inggeris Terbaik dengan karya My Home Is In Your Arms, Firdhaus menang Lagu Cina Tempatan Terbaik menerusi Divorce In Ghana, sementara Sheezay Hashmita mengungguli kategori Lagu India Tempatan Terbaik dengan Pothum.

Lagu Bertengkar Manis dendangan Rossa dan Barsena Bestandhi pula diumumkan sebagai Lagu Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara.

Dalam kategori Lagu Etnik Terbaik, kemenangan berpihak kepada Den Manjo dan Eda Ezrin dengan lagu Cinta Setandan Pisang, manakala Hazra meraih trofi Lagu Tradisional Terbaik melalui Canda Citra Cinta.

Untuk kategori Kulit Single/Album Terbaik, pemenang adalah Ismail Izzani dengan Iman.

AIM24 tahun ini dikendalikan oleh pasangan hos serasi Sherry Al-Hadad dan Alif Satar, dengan pentas turut disemarakkan oleh persembahan daripada nama besar seperti Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Exists, Shila Amzah, Black Hanifah, Masdo, Dolla serta penyanyi hip hop Thailand, Tobii.

Malah, penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia.

Related post

Leave a Reply