Rumah Tangga Faisal Halim & Isteri Kembali Pulih
Selepas dilanda kemelut, rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dipercayai kembali tenang apabila dia berkongsi momen mesra bersama isteri, Nur Syazwani Mizuana Shahri dan anak mereka, Khalish Aryan di media sosial.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Faisal memuat naik foto dirinya memeluk erat isteri dan anak tercinta dengan diiringi lagu Sayang Sampai Mati nyanyian kumpulan Repvblik, beserta kapsyen ringkas berbunyi “Alhamdulillah.”
Lebih menguatkan spekulasi hubungan mereka kembali pulih, Syazwani turut memuat naik semula gambar sama dengan coretan penuh makna.
“Alhamdulillah. Maaf dan lupakan. Semoga Allah lindungi perkahwinan kami hingga ke syurga. Sayang awak, Faisal Halim. Rasa macam baru kahwin semalam,” tulisnya.
Terdahulu, Syazwani memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Malah, peguamnya, Roshdan Sujak Rafie, turut mengesahkan mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan.
