
‘Bukan Lagi Kita’ Bergema Di Mongolia, Nadeera Wakili Malaysia Ke ABU Song Festival 2025
Penyanyi, Nadeera, 32, dipilih mewakili Malaysia ke ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang akan berlangsung di Tsonjin Boldog, Mongolia pada 14 September ini.
Pemilihan itu dianggap pencapaian besar buat Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, kerana ini membuktikan keyakinan tinggi RTM terhadap kemampuan vokalnya serta pesona yang dimilikinya.
“Ini penghormatan yang sangat besar. Saya terharu diberi peluang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Di pentas itu, saya bukan sekadar Nadeera, tapi wakil negara. Setiap nota adalah doa, harapan dan kebanggaan kita bersama,” katanya.
Pada festival berprestij itu, Nadeera bakal menyampaikan lagu hitnya berjudul Bukan Lagi Kita yang melambungkan namanya sebagai antara penyanyi generasi baharu dengan vokal terbaik.
Baginya, peluang membawakan karya sendiri amat bermakna kerana dapat memperkenalkan lagu tempatan ke pentas dunia.
“Bukan Lagi Kita sangat dekat dengan hati saya dan pendengar. Saya mahu menyanyikannya sepenuh jiwa sebagai hadiah buat semua,” ujarnya lagi.
Walaupun sebelum ini pernah beraksi di pentas luar negara seperti Vietnam dan Indonesia, Nadeera mengakui peluang kali ini lebih istimewa kerana festival itu menghimpunkan artis hebat dari seluruh Asia.
“Festival kali ini berskala antarabangsa. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara tersendiri. Terima kasih RTM, Rocketfuel, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat atas sokongan yang tidak pernah putus,” kongsi Nadeera lagi.
Nadeera juga berharap perjalanan dan persembahannya di Mongolia berjalan lancar serta meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
ABU Song Festival merupakan acara gala tahunan anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union yang menampilkan artis dari seluruh rantau Asia. Ia bukan pertandingan, sebaliknya pentas pameran bakat dan persembahan muzik yang diraikan secara langsung di hadapan penonton.