Fattah Amin, Amira Othman Umum Nikah 14 September
Teka-teki mengenai hubungan istimewa antara penyanyi, Amira Othman dan pelakon, Fattah Amin akhirnya terjawab apabila mereka mengaku sedang menjalin hubungan cinta.
Fattah, 35, mengejutkan ramai apabila hadir secara istimewa pada majlis pelancaran single baharu Amira bersama adiknya, Irfan Haris, berjudul Rasa & Takdir.
Ketika persembahan berlangsung, suasana bertukar riuh sebaik Fattah melangkah masuk dari belakang dewan sebelum naik ke pentas.
Di penghujung persembahan, Irfan menyerahkan simbolik ‘kunci’ kepada Fattah.
Peluang itu digunakan aktor berkenaan untuk membuat pengumuman rasmi mengenai hubungan mereka, sebelum menyerahkan kembali ‘kunci’ tersebut kepada Amira sebagai tanda ikatan yang kini dimeterai secara terbuka.
Momen penuh bermakna itu turut disaksikan oleh ibu bapa Amira, Othman Abdul Kadir, 62, dan Nora Arshad, 58.
Pasangan ini bakal melangsungkan pernikahan pada 14 September di sebuah hotel di Johor Bahru, bertepatan dengan tarikh lahir Fattah sendiri.
Sebelum ini, khabar angin mengenai Fattah bakal menamatkan zaman duda hangat diperkatakan di media sosial.
Spekulasi itu mula tercetus selepas seorang pengguna Threads mendakwa memperoleh maklumat daripada sumber dipercayai.
Untuk makluman, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Fazura pada 27 November 2017 sebelum berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia empat tahun.
