
Inspirasi Cinderella Jadi Pertaruhan, Asyraf Nasir Harap Tuah Karya Terbaharu
Mengambil inspirasi daripada kisah dongeng Cinderella sebenarnya memberikan inspirasi kepada penyanyi Asyraf Nasir dalam naskhah terbaharunya yang mengambil judul yang sama.
Bagaikan ada magnet yang menarik penyanyi ini mendalami kisah tersebut, rata-rata peminat memberikan maklum balas yang baik sejak lagu ini dilancarkan secara rasmi pengunjung Ogos yang lalu.
Jelas Asyraf, dia mahu memberikan tumpuan kepada golongan yang sering merasakan terpinggir dan naskhah Cinderella ini juga meraikan mereka yang sering merasakan sedemikian.
“Cinderella adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa.
“Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya,” kongsi Asyraf teruja.
Menariknya lagu yang dicipta bersama SonaOne ini sebetulnya tidak mengambil masa yang panjang. Mereka hanya mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan keseluruhan karya ini.
Tambahnya, perkenalan dan hubungan baik dengan penyanyi dan komposer berkenaan banyak memudahkan kerja mereka tanpa sebarang masalah besar.
Hal yang sama turut dilalui oleh mereka berdua dalam proses penciptaan lagu Virus, yang dijadikan single Asyraf sebelum ini.
Mereka berjaya ‘menangkap’ tenaga spontan, tahu apa yang dimahukan dan apa yang perlu dilakukan ketika berada di dalam studio.
“Kami tidak terlalu serius dalam bekerja dengan meletakkan syarat dan sebagainha. Apa yang anda dengar adalah hasil kerjasama baik dan santai.
“Saya mahu sebuah karya yang jujur dan tidak terlalu berat untuk semua. Kejujuran dalam berkarya itulah yang akan memberikan warna kepada n keseluruhan naskhah,” kata Asyraf lagi.
Menariknya, bunyi ‘eccentric synth piano’ yang membuka lagu ini sebenarnya diambil daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diolah semula dengan sentuhan moden.
Proses pra-produksi lagu ini sebenarnya sudah bermula sebagai demo pada tahun 2020. Selepas lima tahun, lagu ini masih terngiang-ngiang di telinga Asyraf dan rakan-rakan pemuzik yang mendengarnya.
“Hampir tiada perubahan drastik dibuat dari versi demo ke versi akhir, kerana keajaibannya sudah ada sejak awal.
“Kita perbaiki adunan muzik, tapi kita kekalkan bunyi asal. Saya percayakan KidKenobi untuk hasil akhir,” katanya yang begitu mengkagumi hasil akhir lelaki berkenaan.