
Bengkel Hidang Makanan Percuma Sementara Pelanggan Tunggu Kereta Diservis
Sebuah bengkel menemui cara unik untuk membuatkan pelanggan gembira sementara menunggu kereta mereka diservis… dan ia melibatkan makanan.
Dalam satu video TikTok yang dikongsi oleh @agy.official, pempengaruh itu singgah ke sebuah bengkel di Batu Caves untuk servis kereta dan terkejut dengan layanan istimewa yang diterimanya.
Daripada hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa, pelanggan di bengkel ini disambut dengan hidangan bufet lengkap bersama minuman yang semuanya secara percuma.
“Di sini, hantar kereta untuk servis tapi mereka layan macam makan di restoran.
“Malah mereka siap sediakan bihun goreng untuk pelanggan!” kata Agy.
Dalam video tersebut, Agy turut dilihat berbual dengan seorang wanita di kaunter, bertanya sama ada makanan itu hanya untuknya atau untuk semua pelanggan.
“Sesiapa sahaja boleh makan,” jawab wanita itu, mengesahkan makanan percuma disediakan untuk semua pelanggan yang sedang menunggu.
Tidak hanya sekadar snek ringkas sahaja. Ada hidangan lengkap, minuman sirap bandung yang menyegarkan, buah-buahan manis malah boleh tambah berkali-kali, menjadikan pengalaman itu lebih mirip makan di restoran berbanding kudapan ringkas.
Ramai memuji bengkel tersebut kerana sanggup berusaha lebih untuk menjaga keselesaan pelanggan, sementara ada juga yang berseloroh mungkin akan datang semata-mata untuk menikmati makanan.
Idea menggabungkan servis kereta dengan hidangan percuma nyata menarik hati rakyat Malaysia yang sentiasa mencari perniagaan yang menawarkan lebih daripada sekadar asas.
Bagi yang tertanya-tanya di mana bengkel mesra pelanggan ini terletak, ia tidak lain tidak bukan adalah Amin Speed Workshop di Batu Caves, Selangor.
Sumber: TikTok