Siti Nurhaliza Doa Indonesia Kembali Aman

Siti Nurhaliza Doa Indonesia Kembali Aman

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, meluahkan rasa simpati terhadap pergolakan yang sedang berlaku di Indonesia ketika ini.

Menurut Siti, walaupun peristiwa itu terjadi di negara jiran, hatinya tetap tersentuh kerana karya seninya selama ini sentiasa mendapat sambutan hangat daripada peminat di sana.

“Sebagai anak seni yang diterima baik oleh masyarakat Indonesia, saya turut rasa terkesan dengan apa yang sedang berlaku.

“Malaysia dan Indonesia ibarat adik-beradik, kalau yang satu sakit, yang lain pun turut terasa. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan pun terasa.” katanya ditemui di siding media Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Jelas Siti lagi, apa yang mampu dilakukan ketika ini adalah memberi sokongan moral serta doa agar keadaan segera kembali tenang.

“Kalau tidak mampu membantu dari segi lain, sekurang-kurangnya kita boleh beri kata-kata semangat. Malah saya sendiri ikut serta dalam inisiatif rakyat Malaysia yang memesan makanan melalui aplikasi penghantaran sebagai tanda solidariti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi nombor satu negara itu dijadualkan membuat persembahan pada hari terakhir konsert Pestapora di Indonesia pada 7 September ini.

Namun, pelantun Aku Bidadari Syurgamu itu masih memantau keadaan semasa sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya berdoa keadaan cepat reda supaya dapat bertemu peminat di sana. Memang saya rindu untuk menghiburkan mereka,” katanya lagi.

Untuk rekod, Indonesia kini dilanda gelombang protes selepas Presiden Prabowo Subianto mengumumkan kenaikan elaun Ahli Parlimen sehingga Rp50 juta sebulan (RM12,869).

Kemarahan rakyat juga semakin memuncak apabila seorang pemandu ojek, Affan Kurniawan, maut selepas digilis trak Barracuda pada 28 Ogos lalu.

Sejak itu, pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia menzahirkan sokongan dengan cara tersendiri.

Related post

Leave a Reply