
Nora Ariffin Akui Penat Kes Cerai Belum Selesai, Ikut Prosedur Mahkamah
Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 52, mengakui berasa letih apabila proses perceraiannya dengan suami, Dr Rushdi Ramli, masih berlanjutan dan belum menemui noktah.
Kes yang difailkan sejak April lalu masih dalam fasa prosiding mahkamah syariah, sekali gus memerlukan kedua-dua belah pihak melantik wakil untuk proses Hakam Islah (keluarga).
Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Rabu untuk melantik anak sulungnya, Mohd Syakir Iman, 32, manakala Dr Rushdi pula memilih anaknya, Muhammad Shakir, 34, sebagai wakil.
Mengulas mengenai situasi yang sedang dihadapi, Nora berkata dirinya akur dengan aturan mahkamah meskipun secara peribadi berasa penat dengan proses yang panjang.
“Penat, memang saya penat. Namun saya tahu ini adalah prosedur mahkamah dan saya harus menghormati serta ikut undang-undang.
“Proses perceraian masih belum selesai dan saya hanya ikut prosedur dalam masa sama mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Tambahnya lagi, keputusan penuh berhubung kes berkenaan masih bergantung kepada Dr Rushdi dalam tempoh proses hakam tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan seterusnya.
Dalam pada itu, Nora turut memberi respon terhadap komen segelintir netizen yang meluahkan rasa bosan dengan perkembangan kes rumah tangganya.
“Saya ada juga terfikir, tiada ke jalan lain yang lebih cepat. Tapi mungkin orang di luar berkata begitu sebab mereka tidak faham prosedur mahkamah.
“Saya juga sedikit sedih apabila ada yang tuduh saya bayar media untuk datang ke prosiding,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nora memfailkan perceraian pada 21 April lalu selepas tular video lafaz cerai oleh Dr Rushdi di Instagram. Pasangan ini sempat rujuk semula sebulan selepas itu.
Untuk rekod, Nora dan Dr Rushdi bernikah pada 2021.
Sebelum itu, Nora mendirikan rumah tangga bersama komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Johan meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung.