
Aliff Syukri Bebas Tuduhan Kes Lagu ‘Kelepuk Raya’
Usahawan yang pernah mencetuskan sensasi dengan lagu Kelepuk Raya, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu berhubung empat pertuduhan memuat naik video berunsur sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Aliff Syukri didakwa menghasilkan serta memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video yang dianggap sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi akaun Instagram miliknya, aliffsyukriterlajaklaris.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 sebelum dikesan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 24 April tahun sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali. Pesalah juga boleh didenda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan dilakukan selepas disabitkan.
Pendakwaan kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Faten Hadni Khairuddin.
Terdahulu, muzik video Kelepuk Raya yang dilancarkan Aliff Syukri mencetuskan kontroversi apabila menampilkan sekumpulan penari lelaki dengan gaya lembut yang dianggap keterlaluan.
Video berdurasi lima minit 23 saat itu bukan sahaja menerima kecaman netizen, malah ada pihak menyifatkan ia mencemari sambutan Aidilfitri.
Lebih hangat, ada juga yang menuduh kandungan video berkenaan seolah-olah cuba menormalisasikan unsur berkaitan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.