Anak-Anak Sambung Legasi Seni, Siti Saerah Luah Syukur

Anak-Anak Sambung Legasi Seni, Siti Saerah Luah Syukur

Penyanyi Siti Saerah Tarudin, 42, gembira dan dalam masa sama akur dengan ketentuan Allah apabila bakat seni yang diimpikannya suatu ketika dahulu kini terserlah pada anak-anaknya.

Saerah berkata, dia melihat hal itu sebagai satu rezeki besar dan berharap bakat yang dimiliki anak-anaknya terus mendapat sokongan.

“Saya okay sahaja bila tengok bakat anak-anak lebih menyerlah. Perancangan Allah kita tak tahu. Saya bersyukur sangat kerana Allah kurniakan rezeki dan bakat kepada mereka.

“Kalau dulu saya minat menyanyi, saya tak pernah rasa sedih kerana rezeki itu turun kepada anak saya. Jadi, kita teruskan sahaja legasi ini,” katanya.

Ibu lima cahaya mata itu berkata, tumpuannya kini adalah memberi sokongan dan semangat kepada dua anaknya, Umairah, 15, dan Amad, 13, untuk terus melangkah jauh dalam bidang seni.

Ditanya mengenai pandangan segelintir pihak yang pasti mengaitkan anak-anaknya dengan nama besar ibu saudara mereka, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Saerah mengakui perkara itu tidak dapat dielakkan.

“Itu memang tak boleh nak tutup mulut orang. Cuma yang penting, orang luar sokong bakat mereka dan doakan yang terbaik.

“Tak perlu nak banding-bandingkan atau bercakap yang tidak sepatutnya. Apa yang penting, kita doakan dan sokong apa sahaja bakat yang ada,” jelasnya lagi.

Tambah Saerah, sebagai ibu dia turut menekankan soal disiplin agar anak-anaknya bersedia menghadapi cabaran dalam industri hiburan.

“Saya memang dah bentuk disiplin mereka sejak awal. Mestilah sebagai ibu bapa kita nak anak-anak berdisiplin. Alhamdulillah, mereka faham apa yang saya ajar,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply