
Legenda Manchester United, Tiket Penerbangan Ke Paris Tarikan Utama MATTA Fair 2025
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dengan bangganya mengumumkan bahawa Malaysia Aviation Group (MAG) sekali lagi dipilih sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama bagi Pameran MATTA Kebangsaan ke-57.
Bakal berlangsung dari 5 hingga 7 September 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pelbagai tawaran menarik bakal dinikmati oleh pengunjung yang hadir nanti.
MAG, yang menaungi Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan Amal, bukan sekadar penaja biasa sebaliknya mereka akan mengubah 72 ruang pameran mereka menjadi sebuah arena futuristik dikenali sebagai ‘MAG Arena’.
Pengunjung akan disajikan dengan pengalaman interaktif berteraskan teknologi AI, inovasi digital, serta produk masa depan yang memperlihatkan wawasan MAG untuk tersenarai sebagai antara 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.
Presiden MATTA, Nigel Wong, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu penyatuan nilai dan visi antara dua peneraju industri pelancongan dan penerbangan negara.
“Pelancongan bukan sekadar destinasi, tetapi tentang hubungan antara tempat dan manusia. Dengan sokongan MAG, kami yakin hubungan ini dapat diperkukuhkan demi generasi akan datang,” katanya.
MAG turut mempelopori inisiatif kelestarian melalui penggunaan bahan api penerbangan mampan dan pengurangan pelepasan karbon, seiring dengan misi MATTA ke arah industri pelancongan yang mesra alam dan beretika.

Dalam edisi penganjuran kali ini juga, pengunjung akan disajikan dengan 2040 pempamer dan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif, hadiah eksklusif, serta kehadiran legenda Manchester United dan personaliti sukan terkenal dari dalam dan luar negara.
Ini pasti menambah ‘kuasa bintang’ dan tarikan unik kepada MATTA Fair kali ini selain mereka berpeluang menebus hadiah menarik sepanjang pameran berlangsung.
Sebagai penaja utama Pertandingan Pembeli MATTA Fair, MAG menawarkan hadiah utama berupa tiket pergi balik Kelas Perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris.
Tempat kedua dan ketiga pula bakal memenangi tiket ke Narita (Jepun) dan Auckland (New Zealand), bersama pelbagai lagi hadiah lumayan yang menanti pengunjung bertuah.
Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran, pula gembira dengan kerjasama yang telah dimeterai dalam penganjuran kali ini.
“Kami berbesar hati meneruskan peranan sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama MATTA Fair 2025 seperti yang diumumkan hari ini.
“Kami bukan sekadar menawarkan promosi eksklusif, tetapi juga berkongsi visi kami malah pengalaman penerbangan digital, pintar dan premium ke arah menjadi antara pembawa global terbaik menjelang 2030,” kata Dersenish yang menyifatkan kerjasama yang dijalankan di antara Matta dan MAG ingin dilihat dalam jangka masa panjang.
Menyasarkan 150,000 pengunjung, ruang pameran akan mula dibuka bermula 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari acara berlangsung dan pengunjung digalakkan menggunakan perkhidmatan bas percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.