
Malaysia Raih Tempat Pertama di Expo 2025 Osaka, Makanan & Karya Digital Tarik Perhatian Jepun
Malaysia mencuri tumpuan di Expo 2025 Osaka apabila pavilion negara itu dinobatkan sebagai destinasi nombor satu untuk makanan antarabangsa, sementara hasil karya digital kreatif tempatan turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkongsi paparan skrin siaran penyiar Jepun, Yomiuri TV, yang menunjukkan Pavilion Malaysia berada di tempat pertama dalam tinjauan khas Expo Gourmet melibatkan pemegang pas musim.
Kumpulan ini sering berkunjung ke ekspo, menjadikan kedudukan tersebut lebih bermakna.
Antara hidangan popular yang menarik perhatian ramai pengunjung Jepun ialah roti canai, sekaligus melonjakkan Malaysia ke tangga teratas mengatasi Australia, Arab Saudi, Jerman dan Perancis.
Beliau turut menegaskan pencapaian ini menyerlahkan keunikan kulinari dan hospitaliti Malaysia, sambil mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan pavilion atas usaha mereka.
Dalam masa sama, industri kreatif digital Malaysia turut menyerlah sepanjang Minggu Kementerian Digital yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos.
Antara produksi tempatan yang menerima maklum balas positif daripada penonton Jepun termasuk Upin & Ipin Universe (Les’ Copaque), GigaBash (Passion Republic Games), dan No Straight Roads (Metronomik).
Program bertemakan “Weaving a Future in Harmony” itu diterajui oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan dilancarkan secara maya oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Ia menampilkan pameran, demonstrasi interaktif, serta sesi perniagaan bersama studio kreatif termasuk Metronomik, OMG Studios, dan Kezerk.