Anak Tiri Siti Nurhaliza Selamat Bernikah

Anak Tiri Siti Nurhaliza Selamat Bernikah

Anak tiri kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Aazief Khalid selamat melangsungkan pernikahan bersama wanita pilihannya, Izza Athirah, dalam satu majlis yang berlangsung pada Sabtu.

Pasangan sama cantik sama padan itu disatukan oleh bapa kepada pengantin perempuan yang bertindak sebagai wali.

Dalam majlis tersebut, Izza menerima satu dinar emas sebagai mas kahwin, sekali gus menjadi simbolik indah dalam penyatuan cinta mereka.

Momen bahagia bersejarah itu turut dikongsikan menerusi Instagram Story milik Siti Nurhaliza yang meluahkan rasa syukur atas kebahagiaan anak tirinya.

Penyanyi tersohor itu dilihat menzahirkan ucapan tahniah selain mendoakan agar rumah tangga yang baru dibina sentiasa diberkati dan kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Majlis yang berlangsung penuh keberkatan itu dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Kehadiran insan tersayang menjadikan suasana semakin bermakna buat Aazief dan Izza yang kini memulakan kehidupan baru sebagai suami isteri.

Sekadar info, sekitar April lalu Aazief pernah mengumumkan secara terbuka mengenai pertunangannya bersama Izza melalui laman media sosial.

Sejak itu, hubungan pasangan ini sering mencuri perhatian netizen yang mendoakan agar jodoh mereka berakhir ke jenjang pelamin dan kini doa itu telah dimakbulkan.

Dengan termeterainya ikatan pernikahan ini, ramai peminat dan rakan-rakan turut menzahirkan ucapan tahniah serta berharap agar pasangan ini terus saling melengkapi dalam menempuh alam rumah tangga.

Related post

Leave a Reply