
Anna Jobling Tercalon Di Seoul International Drama Awards 2025
Pelakon, Anna Jobling terus melakar pencapaian membanggakan apabila dia tercalon dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia di acara berprestij Seoul International Drama Awards (SDA) 2025.
Acara itu akan berlangsung pada 2 Oktober depan di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.
Pencalonan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Anna sebagai pelakon muda yang semakin menyerlah bukan sahaja di Malaysia, malah di pentas antarabangsa.
Anna meraih perhatian juri menerusi lakonan cemerlangnya dalam drama ‘Hai Cinta, Dengarkanlah’ yang ditayangkan di slot Akasia TV3.
Wataknya sebagai Cahaya, seorang wanita sarat hamil yang kehilangan suami secara tragis pada hari ulang tahun perkahwinan mereka, membuktikan keupayaan emosi dan kedalaman lakonannya.
“Saya sangat terharu dan tidak menyangka akan tersenarai sebagai calon. Ini satu penghormatan besar buat saya dan seluruh pasukan produksi.
“Saya benar-benar berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia,” luah Anna.
Pelakon berdarah kacukan itu sebelum ini pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Drama Festival Malaysia (DFM) dan sejak itu terus mencuri tumpuan dalam pelbagai produksi drama utama.
Anna akan bersaing dengan barisan pelakon hebat dari Jepun, China, Thailand, Filipina dan beberapa negara Asia lain dalam kategori yang amat kompetitif itu.
Lebih menarik, pemenang dipilih menerusi undi peminat seluruh dunia melalui aplikasi IDOL CHAMP, menjadikan sokongan peminat sebagai penentu utama.
Jika berjaya, Anna bakal mengulangi kejayaan Siti Saleha yang memenangi kategori sama tahun lalu, satu pencapaian manis buat industri hiburan tanah air.