Zehra Zambri Sah Bercerai Talak Satu

Zehra Zambri Sah Bercerai Talak Satu

Kemelut rumah tangga penyanyi, Zehra Zambri dan suami, Nur Mohd Iqwan akhirnya menemui titik noktah apabila mereka sah bercerai talak satu.

Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi, pada Rabu mengesahkan perceraian tersebut selepas talak satu raj’ie dilafazkan di hadapan Hakim Syarie, Wan Nuruldin Wan Hussain.

Iqwan meluahkan rasa syukur kerana proses itu berjalan dengan baik tanpa sebarang pertikaian.

“Kami sah bercerai talak satu secara raj’ie, Alhamdulillah semuanya lancar. Cuma saya tak pasti apa pula naratif Zehra selepas ini,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Zehra turut melahirkan rasa lega apabila segala urusan yang tertangguh sejak lima bulan lalu akhirnya selesai.

“Alhamdulillah, pada 20 Ogos semuanya berakhir. Selepas berbulan-bulan ulang-alik ke mahkamah, akhirnya kes ini selesai juga.

“Saya rasa sedikit beban sudah terangkat, dan kini boleh rancang semula kehidupan saya bersama anak,” ujarnya.

Menurut Zehra, dia kini mahu memberi ruang untuk memulihkan diri serta menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Saya perlukan masa untuk pulih secara emosi dan berdamai dengan takdir ini. Insya-Allah, saya akan cari semula kekuatan yang hilang dan mulakan hidup baru. Saya yakin saya mampu bangkit,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 13 Ogos lalu Majlis Tahkim memutuskan tiada persefahaman antara pasangan itu, namun lafaz talak terpaksa ditunda kerana Zehra berada dalam keadaan tidak suci. Tarikh baharu ditetapkan pada 20 Ogos.

Untuk rekod, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ pada Mac lalu selepas lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangganya bersama Iqwan.

Pasangan itu berkahwin pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zahiyah Iqleela, kini berusia dua tahun.

Related post

Leave a Reply