
Proses JKP Gagal, Beego Didakwa Langgar Lafaz Taklik
Kisah rumah tangga pasangan selebriti, Beego dan Linda Hashim nampaknya masih berlarutan apabila proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa gagal mencapai kata sepakat.
Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin memaklumkan laporan tersebut gagal selepas wujudnya dakwaan mengenai lafaz taklik yang dikatakan telah dilanggar Beego.
“Dalam laporan JKP, pegawai ada menulis bahawa terdapat taklik yang dilanggar. Pada awalnya, kami cuba selesaikan dengan baik di bawah Seksyen 47, tetapi apabila hakim mengesan isu baharu (taklik), beliau minta ia dimasukkan sekali. Taklik itu sebenarnya telah dilafazkan pada Disember tahun lalu, jadi kami perlu buat pengesahan,” katanya.
Menurut peguam, proses yang berlangsung sudah memakan masa lebih empat bulan, ditambah pula dengan ketidakhadiran Beego pada Selasa kerana tidak sihat.
Hakim kemudian menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan baharu selepas laporan JKP gagal disahkan.
Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian pada awal Januari lalu dengan alasan sudah tiada persefahaman.
Mereka berdua sebelum ini pernah menjalani proses JKP pada 23 April, sebelum mahkamah menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan, namun ditangguhkan ke tarikh semasa.
Pasangan ini juga pernah melalui episod turun naik dalam perkahwinan mereka.
Pada 27 Mac 2023, mereka bercerai sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula pada 9 April tahun sama.
Namun, Linda mendedahkan mereka kembali berpisah buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, cuma tidak diumumkan ketika itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.