
Kim Jong Kook Umum Nikah Pada Usia 49 Tahun
Khabar gembira datang daripada penyanyi dan pelakon Kim Jong Kook apabila dia mengumumkan bakal berkahwin dalam masa terdekat.
Selebriti popular Korea Selatan ini membuat pengumuman tersebut sempena ulang tahun ke-30 penglibatannya ke dalam dunia seni.
“Saya akan berkahwin! Sejujurnya saya sudah memberi bayangan kecil sebelum ini, namun saya pasti akan ada yang merasakan ini satu berita yang mengejutkan.
“Ini merupakan tahun ke-30 kemunculan saya. Saya tidak menghasilkan album seperti yang dimahukan, tetapi ‘menghasilkan’ pasangan hidup,” katanya menerusi sepucuk surat.
Pendedahan itu bukan sahaja mendapat maklum balas positif daripada peminat tetapi juga rakan-rakan industri hiburan yang gembira dengan perkhabaran tersebut.
Intipati surat itu juga sebetulnya memberikan bayangan yang lelaki berusia 49 tahun ini sudah lama bersedia untuk berkongsi perkara berkenaan.
Dia juga meminta peminat terus memberi sokongan dalam menempuh fasa baharu dalam kehidupan selepas ini.
“Walaupun sudah mempersiapkan hati bahawa suatu hari nanti akan menulis dan berkongsi surat ini, saya rasa jauh lebih gementar daripada apa yang pernah bayangkan. Sekarang apabila saya benar-benar sedang menulisnya.
“Terima kasih kepada para peminat yang telah menjadi kekuatan terbesar saya selama ini. Saya akan berkahwin dan memulakan cabaran baru dalam hidup,” luahnya seperti yang dilaporkan media di sana.
Menurut agensi yang menguruskan karier seninya, majlis tersebut akan berlangsung dalam masa terdekat dan dilakukan secara tertutup dan dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja.