Kos Kahwin Mahal, Syarul Ezani Tangguh Naik Pelamin

Kos Kahwin Mahal, Syarul Ezani Tangguh Naik Pelamin

Hasrat pelakon Syarul Ezani untuk duduk di pelamin bersama kekasih hati yang dikenalinya sejak dua tahun lalu terpaksa ditangguhkan ke tahun depan.

Bukan kerana tiada restu keluarga, sebaliknya pelakon berusia 36 tahun itu menjelaskan jadual kerja yang padat serta kos perkahwinan yang tinggi menjadi punca utama.

“Memang ada perancangan, cuma saya tangguhkan ke tahun depan, insya-Allah. Lagi pula, sekarang saya sibuk dengan penggambaran, jadi banyak perkara perlu diatur. Semua maklum, majlis kahwin memerlukan bajet yang besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Syarul berkata kekasihnya memahami situasi tersebut dan tidak mendesak menetapkan tarikh perkahwinan.

“Dia tiada masalah kerana faham kepentingan kerjaya saya. Buat masa ini, kerja dan hubungan sama-sama penting. Kalau tiada pendapatan, sukar juga untuk meneruskan hidup.

“Keluarga semestinya mahu ia dipercepatkan, tetapi saya percaya perancangan rapi perlu dibuat. Apabila melihat rakan-rakan yang sudah berumah tangga, memang saya teringin, cuma belum tiba waktunya,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Syarul merancang menamatkan zaman bujang bersama kekasihnya pada tahun ini.

Related post

Leave a Reply