
Awi Rafael Kehilangan Ibu Tercinta
Penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, 39, berkongsi khabar duka apabila ibunya, Azizah Abdul Rahman telah menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat.
Berita sedih itu dikongsikan Awi menerusi satu hantaran di Instagram.
“Hari Jumaat yang penuh barakah ini, dengan hati yang amat berat, saya kehilangan insan paling berharga dalam hidup saya, ibu tercinta, Azizah Abdul Rahman,” tulisnya.
Awi turut memohon doa orang ramai agar arwah ibunya diberikan keampunan dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman.
“Semoga Allah mengampuni segala dosanya, menerima segala amal ibadah, dan menempatkannya di syurga-Nya.
“Doakan kesejahteraan ibu saya. Terima kasih. Amin,” ungkapnya ringkas.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Pulanglah itu tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai punca pemergian ibunya.
Meninjau di ruangan komen, rakan artis dan para peminat memberikan ucapan takziah serta kata-kata semangat buat Awi agar tabah menghadapi ujian berat ini.
Rata-rata mendoakan agar arwah ibunya ditempatkan di sisi Allah SWT dalam kalangan orang beriman.