Aina Abdul, Dayang & Ernie Dominasi Pencalonan AIM24, Bolos 9 Kategori

Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, 32, antara tiga nama yang mendominasi pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan sembilan kategori.

Kategori tersebut adalah Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik, Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.

Buat julung kali dicalonkan dalam anugerah berprestij itu, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani meluahkan rasa syukur dan terharu sekali gus tercatat satu lagi pencapaian dalam kerjaya seninya.

“Saya masih rasa terkejut kerana ini merupakan AIM pertama saya, rasa kelu dan terharu pun iya juga. Saya rasa gembira. Saya tak sangka dua-dua versi album (Imaji dan Imaji Deluxe) yang saya hantar itu dapat tempat.

“Terima kasih kepada ketua juri, Datuk Mokhzani dan semua juri yang menjurikan saya. Saya memang sudah lama mengimpikan ini. Teringin nak rasa pegang anugerah AIM.

“Saya nak rasa sebab bila saya kerja dengan sifu saya, contoh Abang Ajai, saya dapat lihat di studio dia, ada banyak anugerah AIM ini. Itu jadi pembakar semangat,” katanya ditemui di sidang media AIM24 pada Khamis.

Selain Aina, dua lagi penyanyi yang meraih sembilan pencalonan ialah Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri.

Sementara itu, Pengerusi RIM merangkap Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, menjelaskan pemarkahan dibuat oleh panel juri profesional dengan disokong sistem pengauditan yang telus.

Menurutnya, proses penjurian dikendalikan oleh sebuah badan bebas, Macomm Management Services Sdn Bhd, yang bertanggungjawab mengumpul markah sebelum diserahkan kepada juruaudit bebas, Mazars untuk pengiraan akhir.

“Hari ini (Khamis) kami umumkan senarai Top 5 yang memperoleh markah tertinggi. Pemenang AIM24 akan diumumkan pada 13 September nanti, iaitu calon yang mengungguli jumlah markah,” katanya.

Ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, pula menyifatkan proses penjurian tahun ini amat mencabar memandangkan hampir 900 pencalonan diterima. Daripada jumlah itu, sebanyak 862 pencalonan membabitkan 30 kategori dengan 26 daripadanya melalui tiga fasa penjurian.

“Proses ini melibatkan kategori teknikal seperti Rakaman Album Terbaik, diikuti kategori lain, dan akhirnya kategori Lagu Terbaik. Menilai 26 kategori dalam tempoh masa yang ditetapkan sememangnya satu cabaran,” jelasnya.

AIM24 kali ini turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, dan Kugiran Terbaik.

Malam kemuncak AIM24 dijadual berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 13 September dan akan disiarkan di TV2 serta RTMKlik.

Related post

Leave a Reply