Pelakon Mimi Lana meluahkan hasrat untuk dikurniakan cahaya mata kembar bersama suami tercinta, aktor, Syafiq Kyle.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, pemilk nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin memohon orang ramai agar sama-sama mendoakan impiannya itu termakbul.
“Boleh tak nak mintak semua orang doakan saya dapat ‘baby’ kembar?
“Orang cakap kalau ramai-ramai doakan, senang termakbul,” tulisnya ringkas.
Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai termasuk peminat yang rata-rata turut menitipkan doa serta kata-kata positif buat pasangan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan Mimi dan Syafiq agar segera dikurniakan zuriat, selain mengharapkan kebahagiaan rumah tangga mereka kekal hingga ke akhir hayat.
Untuk rekod, Mimi dan Syafiq selamat diijabkabulkan dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di kediaman keluarga pengantin perempuan di Taiping, Perak pada 14 Februari lalu.
Pasangan itu sebelum ini pernah merancang untuk melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos 2023, namun majlis tersebut dibatalkan pada saat akhir.
Walaupun tidak memperincikan punca sebenar pembatalan, kedua-duanya tampil matang apabila mengakui masih berkawan baik dan mampu bekerjasama secara profesional dalam drama atau filem.