“Bukan Dicuri Tapi Salah Parkir” – Shuib Jelaskan Isu Kereta Hilang

Pelawak dan usahawan, Shuib, 41, tampil menjernihkan kekeliruan mengenai kereta jenis Toyota CHR berwarna kuning miliknya bukan dicuri, tetapi ditunda oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atas kesalahan parkir.

Pemilik nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkata dia enggan memanjangkan isu berkenaan dan menganggap kejadian itu hanya salah faham biasa.

“Kereta itu sebenarnya hanya salah letak sahaja. Saya tak mahu panjangkan cerita. Bukan dicuri tapi salah parkir.

“Hanya ‘misplace’ sahaja dan sekarang sudah dijumpai. Di seksyen berapa saya tak ingat, tapi ini memang salah parkir sahaja.

“Kereta okey dan sudah dapat. Mamat yang beritahu saya kereta itu ada di MBSA,” jelasnya yang ditemui dalam satu sidang media pada Rabu.

Dalam pada itu, Shuib turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang membantu mencari kenderaannya selepas dia memuat naik hantaran mengenai kehilangan kereta itu di Instagram.

“Ya, memang ramai cakna. Orang hendak tolong carikan sebab rakyat Malaysia memang prihatin.

“Untuk yang kecam dan beri pelbagai andaian itu, macam mana lagi, hadap sahajalah.

“Saya okey sahaja. Itu bukan kereta kesayangan pun, itu kereta untuk hantar anak ke sekolah,” katanya lagi.

Terdahulu, Shuib mencetuskan kebimbangan ramai apabila memaklumkan keretanya hilang di sebuah kawasan parkir di Shah Alam, sebaik selesai urusan di Mahkamah Shah Alam.

Ketika itu, dia tidak pasti sama ada kenderaan tersebut ditarik atau dicuri, lalu meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan kereta tersebut.

Related post

Leave a Reply