“Pembuli Ni Tak Pernah Hebat” – Zizi Kirana

Sejak isu berkenaan dengan arwah Zara Qairina menjadi bualan netizen dan rakyat Malaysia, ramai dalam kalangan selebriti turut bersuara mengenai tragedi sama.

Penyanyi Zizi Kirana tidak terlepas untuk berkongsi pendapat dan pandangan mengenai isu yang dianggap semakin parah dalam kalangan pelajar sekolah.

Dalam perkongsian di Threads, Zizi menekankan yang pembuli bukan individu yang kuat. Namun, mereka lebih daripada manusia kosong yang tidak mampu melihat orang lain lebih daripada dirinya.

“Pembuli ni tak pernah hebat. Dia cuma manusia kosong yang takut tengok orang lain lebih dari dia. Dia pijak orang bukan sebab dia kuat, tapi sebab dia lemah,” tulisnya.

Tambahnya, pembuli biasanya berselindung di sebalik sifat manipulatif, rasa tidak yakin diri dan ketiadaan empati, sebagai cara untuk menutup kelemahan sebenar mereka.

“Manipulatif, insecure, tiada empati, semua tu topeng untuk sorok hakikat yang dia tak mampu hadap diri sendiri.

“Kau nak tahu siapa ‘loser’ sebenar? Dia lah orang yang perlu jatuhkan orang lain untuk rasa bernilai,” tulisnya.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan, kebanyakan netizen bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Zizi.

“Setujuuuu.”

“Dan dia rasa terpaling.”

“Narsis.”

Sebelum ini, allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

Kes kematian itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan buli dalam kalangan pelajar, mendapat perhatian meluas di media sosial berikutan dakwaan membabitkan anak orang kenamaan (VIP) dan individu ternama lain.

Dakwaan itu mencetuskan reaksi orang ramai yang menuntut keadilan buat mangsa.

Related post

Leave a Reply