Isu Ibu Cakap Anak Tak Comel, Fattah Amin Harap Netizen Henti Spekulasi

Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, 35, meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai hubungan anaknya, Fatima dengan ibunya, Azizah Abdul Ghani.

Pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin, menegaskan hubungan Fatima bersama bekas isteri, Nur Fazura dan ibunya berada dalam keadaan baik.

“Setakat ini, hubungan saya, anak, mummy dia (Fazura) dan nenek dia tidak ada masalah,” katanya.

Menurut Fattah, isu yang hangat diperkatakan di media sosial sejak beberapa hari lalu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap emosi ibunya.

“Sudah tentu dia sedih, tapi saya pesan kepada ibu supaya tidak membaca atau mendengar perkara-perkara sebegini.

“Sebab orang luar tak tahu apa yang berlaku. Mereka boleh membuat pelbagai andaian dan fitnah, tapi kalau perkara itu tak benar, kita jangan terasa atau terkesan,” ujarnya lagi.

Tambah pelakon filem Pendekar Awang itu, dia kesal dengan apa yang berlaku dan mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif atau membuat andaian yang tidak berasas.

“Bila perkara begini berlaku kepada ahli keluarga, saya memang rasa kesal. Saya selalu nasihatkan peminat, kalau tiada perkara baik untuk dikomen, lebih baik jangan komen.

“Jangan buat andaian bukan-bukan. Kalau mahu komen sekali pun, biarlah komen yang baik. Tapi saya faham, kadang-kadang kita tak boleh mengawal semua orang,” katanya.

Biarpun begitu, Fattah mengakui sudah terbiasa dengan cabaran sebagai anak seni dan menganggap situasi sebegini bukanlah perkara baharu.

“Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita terkesan. Tapi inilah cabaran dalam industri hiburan. Bila sudah dikenali, orang boleh bercakap apa saja tentang kita.

“Saya akan terus fokus pada kerja. Apa yang saya buat adalah untuk keluarga. Kalau ada orang berniat buruk, saya serahkan kepada Allah.

“Sebagai selebriti, kita kena tunjuk contoh yang baik kepada peminat,” luahnya dengan tenang.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan Fatima mengadu kepada Fazura bahawa neneknya berkata dia tidak comel dan tidak pandai.

Namun, Fazura menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tidak mungkin bekas ibu mentuanya mengeluarkan kata-kata begitu.

Adik Fattah, Raihan Amin turut tampil menafikan tuduhan ibu mereka mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Fatima.

Related post

Leave a Reply