Kemelut antara pelakon Anna Jobling dan ibu kandungnya, Ariz Arop terus memuncak apabila peguam kepada pelakon itu, Wan Nurliyana tampil menafikan dakwaan kononnya Ariz dihalau keluar dari kereta milik anaknya.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Story, Nurliyana memuat naik sebuah video yang memaparkan dirinya membuka pintu kereta sebelum Ariz menjerit ke arahnya.
“Saya buka pintu kereta kali kedua dan tiada sesiapa pun yang dikeluarkan. Dia (Ariz) tidak disentuh atau diusir keluar seperti yang didakwa sebelum ini. Saya hanya mengambil kad akses milik Anna dari dalam kereta,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, peguam itu tidak memperincikan punca sebenar pertikaian yang berlaku, namun dipercayai ada kaitan dengan konflik antara Anna dan Ariz.
Dalam pada itu, Nurliyana turut menolak dakwaan Ariz dikunci dari dalam kenderaan tersebut.
“Kereta itu boleh dibuka dari bahagian dalam. Ia tidak berkunci pun, cuma individu berkenaan enggan keluar,” tegasnya.
Dalam video sama, Anna dilihat berada di dalam kereta lain sambil memerhatikan ibunya yang masih berada di dalam kenderaan miliknya.
Sebelum ini, kemelut hubungan antara Anna dan Ariz menjadi perhatian ramai selepas tular video Ariz mendakwa dirinya diperlakukan seperti ‘anjing kurap’ serta dihalau oleh peguam anaknya.
Pada Ahad lalu, Ariz memuat naik foto di sebuah balai polis, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi. Dia juga mendakwa Anna sanggup memohon perintah injunksi terhadapnya.