Sana TWICE Jawab Dakwaan Jalin Hubungan Cinta Dengan G-Dragon

Anggota kumpulan TWICE, Sana, akhirnya membuka mulut mengenai khabar angin percintaan singkat melibatkan dirinya dengan rapper popular, G-Dragon.

Dalam episod terbaharu siri YouTube Sana’s Fridge Interview berjudul Reading Your Comments On Sana’s Interview, Sana berkongsi perasaannya menjelang penutup musim kedua rancangan tersebut.

Dalam masa sama, Sana menarik perhatian apabila menyentuh tentang khabar angin mengenai kisah percintaan itu.

Segalanya bermula pada April lalu, apabila G-Dragon memuat naik klip video TWICE yang menjayakan persembahan sebagai artis jemputan konsert Coldplay di Seoul menerusi akaun media sosialnya dan hanya meletakkan tag akaun Instagram Sana sahaja.

Hal ini secara tidak langsung menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat.

“Tag itu sekadar tanda mesra selepas penggambaran Fridge Interview. Kami tidak terus menjelaskan kerana jika kaitan itu didedahkan, ia mungkin akan membocorkan kemunculannya dalam rancangan tersebut.

“Hari itu memang sangat bermakna. Rasanya seperti kami tiba-tiba kira ‘satu, dua, tiga’ dan terus berkumpul. Gabungan orang yang takkan bertemu kalau bukan kerana Fridge Interview.

“Saya tak tahu sama ada patut cakap atau tidak, tapi akaun saya muncul di laman sosial media dia. Ahli-ahli lain tahu dia akan muncul dalam Fridge Interview, tapi sebab ia baru beberapa hari selepas rakaman, kami tak boleh beritahu, ‘dia akan muncul dalam rancangan.’

“Memang gatal mulut nak cerita, tapi saya tunggu dan tunggu, akhirnya ia keluar sebulan kemudian,” katanya.

TWICE kini sedang berada di tengah-tengah jelajah dunia keenam mereka, THIS IS FOR. Pada 2 Ogos lalu, mereka mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan gadis K-pop pertama mengetuai festival muzik gergasi ‘Lollapalooza Chicago’ yang berlangsung di Grant Park, Chicago, Illinois.

Sumber: ALLKPOP

Related post

Leave a Reply