Seorang ahli farmasi memberi peringatan kepada kaum wanita yang gemar menikmati minuman matcha supaya berfikir dua kali sebelum berbuat demikian memandangkan minuman tersebut dikatakan mampu mengganggu kitaran haid.
Dalam satu video di TikTok, ahli farmasi yang dikenali sebagai Syah (@syahfarmasi) itu menjelaskan, salah satu kemungkinan punca haid tidak teratur dalam kalangan wanita muda adalah pengambilan matcha yang terlalu kerap.
Walaupun ramai yang minum matcha atau teh hijau lain untuk menambah tenaga atau memperbaiki kulit, Syah berkata pengambilan berlebihan, terutamanya kerana kandungan kafeinnya yang tinggi boleh mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan masalah kitaran haid.
“Secawan matcha boleh mengandungi sekitar 70mg kafein. Pengambilan berlebihan boleh mengganggu hormon wanita, menjejaskan ovulasi, dan menyebabkan kitaran haid tidak stabil,” jelasnya.
Selain mengganggu kitaran haid, pengambilan terlalu banyak kafein juga boleh memburukkan lagi simptom PMS seperti kekejangan, sakit kepala dan perubahan mood.
Begitupun, Syah memberitahu, pengambilan matcha secara sederhana masih lagi selamat. Namun, dia menasihati wanita yang mengalami haid tidak teratur supaya berhenti mengambilnya selama satu hingga dua bulan untuk memantau tindak balas badan.
Untuk rekod, matcha bukan sahaja terdapat dalam minuman, malah ia juga digunakan dalam kek, pencuci mulut, dan aiskrim, yang boleh meningkatkan jumlah pengambilan kafein tanpa disedari.