Pelakon, Zara Zya berkongsi insiden lucu ketika dia melakukan pemeriksaan X-ray di sebuah klinik beberapa tahun lalu.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Zara menceritakan bagaimana seorang doktor menyangka dia memakai susuk, gara-gara terlihat sesuatu yang ‘misteri’ dalam gambar X-ray miliknya.
“Tengah kemas galeri, terjumpa gambar X-ray masa buat pemeriksaan gigi dulu. Nampak tak sesuatu kat bawah pipi tu?
“Beria-ia doktor suruh semua staf keluar bilik, lepas tu mula susun ayat nak tanya saya.
“Dia bisik, ‘Dulu ada pakai susuk ke?’ Saya terus pening, bila pula saya buat benda tu?” katanya berseloroh.
Zara menjelaskan, ‘objek’ yang dilihat dalam X-ray itu sebenarnya adalah jarum atau pin logam yang tertanam hasil daripada pembedahan yang pernah dijalaninya sebelum ini.
“Saya beritahu itu adalah pin sebab saya pernah buat pembedahan dari pipi ke leher. Tapi doktor tu macam masih ragu-ragu nak percaya,” katanya.
Paling menghiburkan, Zara berkata doktor berkenaan tiba-tiba menukar muzik latar klinik daripada lagu pop Indonesia kepada alunan zikir selepas menyangka dirinya mungkin ‘bermistik’.
“Paling kelakar, dari elok pasang lagu Sheila On 7, terus tukar zikir. Ingat saya hantu ke?”, ujar Zara lagi.
Zara sebelum ini pernah mendedahkan dia mengalami masalah ‘Cervical Facet Syndrome’ iaitu keadaan yang menyebabkan kesakitan kronik pada leher dan belakang badan.
Sendi faset adalah sendi kecil yang terletak di bahagian tulang belakang dan mudah terdedah kepada kecederaan serta keradangan.
Keadaan itu menyebabkan dia menjalani pembedahan membuang beberapa ketumbuhan serta menjalani rawatan pemulihan sekitar tahun lalu.