Mengalami gangguan mistik yang tidak henti, pelakon dan usahawan, Wawa Zainal, 34, memohon maaf secara terbuka kepada mana-mana pihak sekiranya dia pernah menyinggung perasaan tanpa disedari.
Menurut Wawa, dia kini masih berdepan gangguan tersebut meskipun sudah mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan.
“Masih ada gangguan, saya tidak tahu sampai bila akan mengalami gangguan ini, sampai bila akan berkahir?
“Mungkin saya ada menyakiti hati orang atau ada yang menyimpan dendam terhadap saya.
“Saya sendiri pun tak pasti. Sebab itu saya ingin mohon maaf kepada sesiapa yang pernah terguris dengan saya,” ujarnya yang ditemui dalam sebuah majlis.
Mengulas lanjut, Wawa turut berkongsi tentang tahap kesihatannya yang semakin merosot sejak memasuki usia 30-an.
Kata isteri kepada aktor Aeril Zafrel itu, dia kini lebih mudah jatuh sakit berbanding dahulu.
“Kalau dulu, sepuluh tahun sekali baru demam. Tapi sekarang, hampir setiap tahun saya demam.
“Biasanya kalau saya sakit, Aeril akan terus bawa saya ke hospital,” tutur ibu kepada empat cahaya mata itu lagi.
Wawa juga menekankan pentingnya menjaga rohani, dan antara amalan yang dilakukannya termasuk membaca al-Quran, berzikir serta menjaga solat.
Terdahulu, Wawa dilaporkan mengalami batuk berpanjangan dan turut menerima rawatan di hospital akibat serangan gastrik.
Kini dia masih dalam proses pemulihan dan berharap keadaan kesihatannya akan terus bertambah baik.