Cabul Wanita Di Bazar Ramadan, Pihak Berkuasa Dedah Sebab Suspek Berbuat Demikian

Seorang lelaki viral di media sosial baru-baru ini selepas video yang memperlihatkan dirinya sengaja melanggar dan melakukan hal yang tidak senonoh terhadap beberapa pelanggan wanita di bazar Ramadan meraih perhatian netizen.

Menerusi video tersebut, lelaki yang mengenakan pakaian berwarna biru itu sengaja ‘merempuh’ sasarannya dan didakwa dengan pantas memegang bahagian punggung mangsanya.

Susulan daripada kejadian yang didakwa berlaku di Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh itu, lelaki berkenaan dikhabarkan telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di bazar tersebut pada Rabu, lapor Kosmo!

Menurutnya, pihak polis turut menerima laporan daripada mangsa yang terlibat dalam kejadian selepas video perlakuan suspek tular dalam media sosial.

“Mangsa pertama melaporkan dia telah dicabul oleh suspek pada 6 Mac lalu, manakala mangsa kedua dan ketiga pula pada 10 Mac lalu.

“Kesemua mangsa menyatakan dicabul semasa sedang berjalan kaki bagi membeli juadah berbuka, suspek secara kasar melanggar badan serta sengaja menyentuh dada dan punggung dengan menggunakan tangan,” katanya.

Ujarnya, modus operandi suspek adalah berjalan kaki serta sengaja melanggar badan mangsa sebelum menyentuh bahagian badan.

“Suspek mengakui terlibat dalam kes itu dan menyatakan perlakuannya bertindak mencabul mangsa adalah kerana sudah lama tidak bersama wanita disebabkan dirinya yang menghidap HIV positif sejak 13 tahun yang lalu.”

Pihaknya turut melaporkan suspek yang merupakan seorang penganggur memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Related post

Leave a Reply