Noraniza Idris Terpaksa Keluarkan RM40,000 Wang Sendiri Bayar Gaji Pekerja
Selepas perniagaan muruku miliknya didakwa dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan, penyanyi, Noraniza Idris terpaksa mengeluarkan wang sendiri sekitar RM40,000 untuk membayar gaji pekerja.
Menurut Noraniza, 57, pembayaran gaji pekerja juga mengalami kelewatan selain terpaksa menanggung beberapa kerugian lain.
“Kos banyak dihabiskan dengan akademi ini dan apabila terjadi begini maka berlaku ada masalah kewangan sebab kita tak buat sebarang pinjaman.
“Memang ada lewat bayar gaji pekerja, tetapi mereka memahami pendapatan kita tidak tinggi.
“Gaji pekerja cecah sehingga RM30,000 ke RM40,000, itu belum lagi perbelanjaan bulanan. Banyak kerugian yang kami tanggung.
“Kumpul duit sendiri dan anak-anak untuk bayar. Kami pernah terlewat sebulan untuk buat pembayaran gaji. Tapi Alhamdulillah, pembayaran sudah beransur selesai dibayar sejak November lalu,” kongsinya dalam sebuah sidang media, pada Rabu.
Berharap isu segera selesai, pelantun lagu Dikir Puteri itu turut meminta pihak akademi latihan tersebut untuk tampil memberi kerjasama dan penjelasan.
“Saya sebenarnya tak mahu isu ini dipanjangkan hingga masuk mahkamah, berharap pihak saya dapat beri kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak polis.
“Saya pun bersedia untuk berdepan dengannya. Saya selalu bersangka baik, ketika menandatangani kontrak semuanya betul tetapi mengapa dia melanggar.
“Saya masih beri peluang untuk kita berbincang menyelesaikan masalah yang terhenti semenjak Mei tahun lepas.
Nak pulangkan barang semuanya sudah habis, saya cuma mahu dia pulangkan bayaran yang telah dijanjikan.
Terdahulu, Noraniza mendakwa dirinya dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000.
Noraniza kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.
Foto BERNAMA