Achey Guna Khidmat Anak Allayharham Harun Salim Bachik
MAHU membalas jasa dan pengorbanan Allahyarham Harun Salim Bachik menjadi sebab utama Achey memilih Baby Feaaa sebagai rakan duet bersama penyanyi cilik Tantari menerusi lagu Ragam Raya yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.
Achey menjelaskan bahawa pemilihan anak Allahyarham dalam lagu ini dibuat sebagai simbolik yang pelawak berkenaan membantu mencungkil bakatnya dalam industri seni di awal pembabitannya dahulu.
“Arwah Harun pernah membantu saya pada tahun 2012 dan selepas pemergiannya, saya rasa terpanggil untuk membawa Baby Feaaa ke hadapan.
“Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah ada lagu duet dengan saya berjudul Kabus dan kini kami keluarkan lagu raya bersama pula bagi menaikkan namanya ke dalam industri seni,” katanya berterus terang.
Menurut Achey yang juga merupakan komposer lagu ini, Ragam Raya telah dihasilkan sejak penghujung September lalu namun rakaman dilakukan kemudian bagi menyesuaikan jadual semua penyanyi terlibat.
“Saya dah buat demo lagu pada September tapi rakaman mengambil masa kerana perlu menyesuaikan jadual Baby Feaaa dan Tantari. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan jadi proses rakaman sedikit tertangguh,” jelas Achey.
Lagu ini mengangkat pelbagai ragam dan persiapan masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk trend membeli baju baru dan pelbagai keunikan lain yang sering berlaku tetapi jarang diketengahkan dalam kebanyakan lagu raya.
Mengulas mengenai penglibatan Tantari pula, Achey menjelaskan yang mereka pernah berduet sama menerusi lagu Biar sebelum ini. Melihatkan sambutan hangat diberikan, dia percaya penyanyi tersebut mempunyai kekuatan tersendiri.
Tambahnya lagi, dia menganggap naskhah ini sebagai sebuah kumpulan kecil dan akan terus bersama-sama bergerak memandangkan mereka berdua pernah menyanyikan lagu hasil ciptaannya.

Pada dasarnya, Ragam Raya bercerita mengenai ahli masyarakat dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk mereka yang obses membeli pakaian baru.
Achey mahu memastikan setiap lagu rayanya menampilkan elemen yang jarang diketengahkan dalam lagu raya biasa.
“Kalau tahun sebelum ini saya buat lagu Raya Rempit yang menceritakan tentang kegilaan menghias motosikal sempena hari raya, kali ini saya angkat realiti persiapan raya yang biasa tetapi tidak selalu dimasukkan dalam lagu,” tambahnya lagi.
Selain itu, Achey turut merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas hari raya nanti termasuk anaknya sendiri yang bakal membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.
Ragam Raya diterbitan oleh Seventeen Eleven Music boleh mula distrim disemua pelantar penstriman muzik mulai 7 Mac lalu. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.