Shaheizy Sam Kembali Jadi ‘Jahat’ Selepas 15 Tahun

Pelakon, Shaheizy Sam, 44, mengakui teruja apabila diberi peluang kembali menggalas watak antagonis menerusi filem terbaharunya, Chelot selepas lebih lima tahun tidak membawakan karakter sedemikian.
Pemilik nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad, berkata, sepanjang tempoh berkenaan dia lebih banyak menerima tawaran membawa watak hero selain karakter berunsur komedi.
“Lama tak dapat tawaran watak penjahat. Lepas filem Bohsia dan KL Drift 2, saya banyak dapat tawaran filem seperti Adnan Sempit dan Polis Evo. Jadi memang tak dapat peluang itu.
“Apabila ditawarkan kali ini, memang seronok sebab bila bawa watak jahat ini, tanggungjawab dia tidak sebesar kalau saya bawa watak utama.
“Watak utama kena ambil tanggungjawab ceritakan keseluruhan filem. Tapi kalau watak jahat, dia cuma perlu pastikan watak itu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
“Jadi rasa ringan sikitlah. Saya bersedia untuk teroka lebih banyak karakter jahat sebab kejahatan manusia ini ada pelbagai jenis,” katanya.
Sam berkata, pada awalnya dia agak berbelah bahagi untuk menerima tawaran tersebut kerana perlu memberi tumpuan kepada projek lain yang sudah dirancang.
Bagaimanapun, selepas projek berkenaan ditangguhkan, dia kembali menghubungi pengarah Chelot, Adrian Teh sebelum tertarik dengan jalan cerita yang diketengahkan.
“Mula-mula itu 50/50 sebab nak fokus filem lain. Tapi bila filem itu ditangguhkan, saya hubungi Adrian balik. Bila dengar jalan cerita, saya rasa sangat menarik,” kongsinya.
Mengulas mengenai karakter antagonis yang dijayakannya, Sam berkata, cabaran utama adalah memastikan watak tersebut kelihatan manusiawi dan tidak terlalu mengikut acuan penjahat yang biasa dipaparkan dalam filem.
“Kesukaran bawa watak penjahat kali ini berbeza. Kalau filem popular macam Marvel atau tempatan, watak jahatnya sangat berkuasa atau ‘comical’.
“Tapi Sam nak pergi ke arah yang betul-betul nampak manusiawi, nampak ‘humble’ tapi narsisistik. Bila watak itu terlalu lembut dan ‘humble’, takut tak nampak pula kejahatan yang boleh buat orang marah. Nak mengimbangi benda itulah yang buatkan ia agak susah sikit,” ujar Sam.
Filem Chelot sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 27 Ogos 2026.



