Baru 10 Hari Buka, Restoran Pelakon Hong Kong Di Petaling Jaya Diarahkan Tutup Sementara

Restoran milik pelakon Hong Kong, Mat Yeung di Petaling Jaya, Selangor, diarahkan tutup sementara 10 hari selepas dibuka kepada orang ramai.
Restoran tersebut mula beroperasi pada 14 Ogos lalu.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 24 Ogos, Six Hub Roast House memaklumkan bahawa restoran berkenaan akan ditutup selama dua hari bagi mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan sebelum kembali beroperasi pada 26 Ogos.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku kerana dapur kami menggunakan ruang awam,” menurut kapsyen hantaran tersebut.
Dalam video yang tular di media sosial, pintu pengatup restoran milik lelaki berusia 45 tahun itu dilihat ditutup.
Pita kuning turut dilekatkan pada pintu pengatup berkenaan.
Menurut Oriental Daily, premis itu diarahkan tutup kira-kira jam 1 petang pada 24 Ogos kerana dipercayai melanggar peraturan atau syarat lesen tertentu bagi premis makanan.
Pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan selepas menerima aduan dan mendapati beberapa restoran menggunakan lorong belakang untuk memasak serta mencuci peralatan. Six Hub Roast House dipercayai antara restoran yang terlibat.
Menurut Sin Chew Daily, wakil restoran turut menjelaskan bahawa penutupan tersebut berpunca daripada isu penempatan peralatan, bukannya masalah kebersihan makanan.
“Kami mempunyai banyak peralatan dapur, jadi kami meletakkannya sementara di bahagian belakang sehingga menggunakan sebahagian ruang tepi jalan. Oleh itu, pihak berkuasa meminta kami mengalihkan semua peralatan tersebut,” katanya.



