Wanita Cetus Kekecohan Di KLIA, Tuntut Malaysia, Singapura & Jepun ‘Menyerah’

Seorang wanita mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dia dilihat menuntut “penyerahan” Singapura, Malaysia dan Jepun.
Menurut beberapa klip kejadian yang tular di media sosial pada 18 Ogos, insiden itu berlaku di kawasan pintu pelepasan Terminal 1 KLIA.
Wanita berkenaan yang memakai kemeja-T hitam dan seluar jeans dilihat berjalan tanpa kasut dalam video tersebut.
Menurut individu yang memuat naik video itu, wanita berkenaan dipercayai berasal dari China.
Berdasarkan kapsyen video, wanita itu pada mulanya sedang membuat siaran langsung menggunakan telefon bimbit sebelum telefon berkenaan dirampas oleh seorang lelaki yang dipercayai dikenalinya.
“Adakah Singapura akan menyerah? Adakah Jepun akan menyerah?” jerit wanita itu dalam video berkenaan.
Dia juga dilaporkan bertanyakan perkara sama mengenai Malaysia sebelum itu.
Wanita tersebut kemudian bertanya kepada orang ramai sama ada mereka merupakan warganegara China sebelum menjerit: “Kalau saya mati di Malaysia, semua orang akan mati bersama!” jeritnya.
Dia juga didakwa mula melakukan kira detik, menurut kapsyen video berkenaan.
Selepas mengeluarkan kata-kata tersebut di khalayak ramai, wanita itu menghampiri seorang individu berhampiran dan bertanya sama ada “mereka akan menyerah”.
Menurut hantaran berkenaan, wanita itu kemudian dibawa keluar dari lokasi oleh pegawai lapangan terbang selepas kira-kira 15 minit.
Keadaan di lapangan terbang kemudiannya kembali senyap.
Menurut Sin Chew Daily, identiti wanita berkenaan serta punca kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: Mothership



