Konsert Kelate KL 2026 Ditangguhkan, Tarikh Baharu Bakal Diumumkan Nanti

Konsert Kelate KL 2026 yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Penganjur utama, Natriya Enterprise menerusi kerjasama Ikarl Project serta sokongan Irama Entertainment, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan dan penyelarasan lanjut bagi memastikan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Dalam satu kenyataan semalam, penganjur memohon maaf atas kesulitan yang mungkin timbul, khususnya kepada peminat yang sudah membuat perancangan awal untuk menghadiri konsert berkenaan.
“Pihak penganjur amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan daripada semua peminat dan pihak yang bersama-sama menyokong perjalanan acara ini,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, tarikh baharu konsert berkenaan masih belum ditetapkan dan akan diumumkan selepas semua proses penyelarasan dimuktamadkan.
Pengumuman rasmi mengenai tarikh baharu akan dibuat menerusi saluran komunikasi rasmi penganjur sebaik sahaja keputusan berkenaan diputuskan.
Dalam perkembangan sama, pemegang tiket yang sudah membuat pembelian menerusi platform Ilasso akan diberikan kemudahan pemulangan wang (refund).
Menurut penganjur, maklumat lanjut mengenai kaedah serta tempoh proses refund akan diumumkan melalui saluran rasmi penganjur dan platform tiket Ilasso dalam masa terdekat.
Pemegang tiket turut dinasihatkan menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan dan maklumat tiket masing-masing bagi memudahkan urusan pemulangan wang.
Konsert Kelate KL 2026 sebelum ini dirancang sebagai platform untuk meraikan muzik, budaya dan identiti Kelantan di ibu negara, dengan membawa tema “Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate.”
Acara itu turut mengetengahkan elemen warisan Kelantan seperti Dikir Barat dan Wayang Kulit sebagai sebahagian daripada pengalaman yang mahu disajikan kepada pengunjung.
Penganjur menjelaskan penangguhan berkenaan dibuat bagi memberi ruang untuk menyusun semula segala perancangan sebelum Konsert Kelate KL 2026 diteruskan pada tarikh baharu.



