Trending

Zahnita Wilson Sudah Bertunang Dengan Mr. F

Pelakon dan model, Zahnita Wilson, 41, mengesahkan sudah bertunang dengan seorang lelaki yang berjaya mencuri hatinya dalam sebuah majlis yang berlangsung, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zahnita, masih memilih untuk merahsiakan identiti lelaki berkenaan dan hanya berkongsi sedikit mengenai latar belakang bakal suaminya.

Menurut pemilik nama sebenar Zahnita Doroty Hussein Wilson, tunangnya bukan dalam kalangan penggiat industri hiburan dan buat masa ini dia belum bersedia untuk memperkenalkannya kepada umum.

“Saya sudah bertunang. Alhamdulillah, saya kini berada dalam fasa bahagia. Buat masa ini, saya belum bersedia memperkenalkan siapa dia kepada umum. Dia bukan orang industri. Cukuplah saya beritahu nama pangkalnya ialah ‘F’,” katanya.

Menurut Zahnita, lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya itu merupakan seorang duda tanpa anak dan antara perkara yang membuatkan dia yakin untuk melangkah ke fasa baharu ialah sikap penyayang serta sifatnya yang mudah memahami.

“Dia seorang yang sangat memahami saya. Kami mudah berkomunikasi dan itu antara perkara yang membuatkan saya yakin untuk melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Zahnita turut berkongsi mengenai keputusan menyerahkan hak penjagaan keempat-empat anaknya kepada bekas suami, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor.

Katanya, keputusan tersebut dibuat secara rela hati selepas mempertimbangkan apa yang dirasakan terbaik untuk masa depan anak-anak.

“Saya serahkan hak penjagaan anak kepada bekas suami dengan rela hati kerana saya percaya dia mampu menjaga mereka dengan baik. Saya sudah melepaskan apa yang berlaku pada masa lalu dan saya juga sudah memaafkannya.

“Saya merasakan dia lebih berkemampuan daripada segi kewangan, manakala saya pula belum mempunyai pendapatan yang benar-benar stabil. Semua ini saya lakukan demi masa depan anak-anak,” ujarnya.

Biarpun hak penjagaan diserahkan kepada bekas suami, Zahnita berkata hubungan dengan anak-anak tetap diteruskan dan dia masih bebas bertemu mereka pada bila-bila masa.

“Saya boleh berjumpa mereka pada bila-bila masa. Kami tidak banyak berkomunikasi, namun segala urusan berkaitan anak-anak tetap dibincangkan jika perlu,” kongsinya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, Abdul Zackery menerusi satu kenyataan di Instagram memaklumkan Zahnita sudah menyerahkan hak penjagaan kekal keempat-empat anak mereka kepadanya.

Zahnita mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery pada 2005 sebelum pasangan itu berpisah pada Ogos 2025.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 19, Zasharayna Ghouse, 14, Zahlia Syawwal, 9, dan Abd Zayden Ghouse, 5.

Related Articles

Back to top button