Berita

Abby Abadi Terlibat Kemalangan Jalan Raya

Usahawan dan pelakon, Abby Abadi, 49, berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan dinaikinya dirempuh dari belakang ketika dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Kuala Lumpur, awal pagi Ahad.

Pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, berkata kejadian berlaku ketika dia sedang mencari lokasi sesuai untuk menunaikan solat Subuh dalam keadaan lebuh raya masih gelap.

Abby mengakui terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi hentaman dan pada awalnya menyangka berlaku masalah pada tayar kenderaan.

“On the way (dalam perjalanan) balik KL (Kuala Lumpur) dari Singapura, leka mencari tempat nak solat Subuh, tiba-tiba ada yang langgar dari belakang. Memang terkejut sangat-sangat. Mula-mula ingat tayar pecah.

“Berhenti tepi, ada abang motosikal datang beritahu ada kereta lain langgar. Tetapi serius tak sedar sebab dalam gelap,” tulisnya di platform Threads sambil berkongsi foto keadaan bahagian belakang kenderaannya yang rosak.

Bagaimanapun, situasi itu membuatkan Abby berasa kecewa dengan tindakan pemandu yang melanggar kenderaannya kerana didakwa hanya memeriksa keadaan secara ringkas sebelum meninggalkan lokasi.

“Pendekkan cerita, pemandu kereta yang langgar itu datang. Tengok itu ini, lepas itu dia cakap ‘claim’ insurans, nak buat macam mana lagi. Lepas itu dia (kata) ‘okaylah ya kak’ dan dia beredar.

“Kereta saya tak boleh jalan, terkapai-kapai tengah lebuh raya ini tunggu bantuan PLUS. Semudah itu saja ya kalau dah langgar orang?” luahnya.

Perkongsian tersebut turut disusuli dengan satu lagi pendedahan menerusi Instagram Story apabila Abby memaklumkan pemandu terbabit mengakui dirinya mengantuk ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, Abby tidak membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja apabila sempat menyimpan beberapa maklumat penting termasuk nombor pendaftaran kenderaan serta nombor telefon pemandu berkenaan.

Maklumat itu disimpan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil susulan kemalangan yang menyebabkan kenderaannya tidak dapat meneruskan perjalanan seperti biasa.

Related Articles

Back to top button