Salina Saibi Terdetik Mahu Bertudung Selepas Pulang Umrah

Pelakon, Salina Saibi, 44, mengakui hatinya terbuka untuk berhijab selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada Syawal lalu, malah kini mengharapkan doa orang ramai agar terus istiqamah dengan penghijrahan tersebut.
Salina berkata, keputusan untuk mengenakan hijab itu hadir atas kerelaan dirinya sendiri dan kini dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan penampilan baharu.
“Saya takut juga hendak bercakap mengenai perkara ini. Namun setakat ini semuanya baik. Inilah diri saya sekarang, seperti orang nampak.
“Perubahan ini berlaku selepas saya pulang daripada mengerjakan umrah. Insya-Allah doakan saya kerana saya pun insan lemah dan iman juga ada turun naik.
“Setiap kali memakai tudung, ada sahaja bisikan menguji. Kadang-kadang bukan sahaja daripada syaitan tetapi juga daripada diri sendiri,” katanya.
Tambah aktres itu, penghijrahan berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana setiap hari ada sahaja ujian yang perlu dihadapinya, termasuk bisikan untuk kembali kepada penampilan terdahulu.
“Apabila pulang daripada umrah, memang banyak ujian kerana kita sedar bagaimana kehidupan sebelum ini. Jadi setiap kali hendak keluar rumah, saya akan cari tudung dahulu.
“Alhamdulillah, saya anggap ini satu perubahan baik. Saya lakukan semua ini kerana Allah, diri sendiri dan juga suami,” ujarnya.
Lebih bermakna buat Salina, suaminya tidak pernah meletakkan paksaan untuk dia berhijab, sebaliknya hanya tersenyum melihat perubahan yang dilakukan atas kehendak dirinya sendiri.
“Suami tidak pernah memaksa saya bertudung. Dia hanya tersenyum melihat perubahan ini. Jadi keputusan ini datang sepenuhnya daripada diri saya sendiri.
“Saya pun tidak berani bercakap lebih lanjut kerana kita tidak tahu apa berlaku pada masa depan. Apa saya mampu buat sekarang ialah cuba kuatkan semangat dan berharap dapat terus istiqamah,” jelasnya.



