Fazura Minta Netizen Hentikan Provokasi, Mahu Besarkan Fatima Dengan Tenang

Pelakon dan usahawan, Nur Fazura, 43, merayu agar semua pihak menghentikan sebarang provokasi, fitnah dan kata-kata negatif yang boleh mengganggu usahanya membesarkan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya dalam suasana aman.
Pemilik nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, berharap orang ramai dapat menghormati privasi mereka sekeluarga serta tidak lagi mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi semua pihak.
“Dengan rendah hati saya nak nasihat dan beri pesanan kepada semua peminat supaya kekal tenang, semoga kita semua istiqamah dan muhasabah diri.
“Jika ada provokasi, cacian, hinaan atau fitnah yang dilemparkan oleh individu tertentu sama ada daripada ‘haters’ mahupun peminat individu berkenaan, harap kita semua dapat bertahan. Apa-apa pun utamakan keharmonian dan utamakan Fatima,” katanya dalam satu sesi siaran langsung.
Dalam masa sama, Fazura menjelaskan hubungannya dengan bekas suami, Fattah Amin kini hanya tertumpu kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa demi memastikan Fatima membesar dalam persekitaran yang positif.
“Saya dan daddy Fatima, kami berdua adalah ibu bapa kepada Fatima. Jadi, banyak lagi momen yang mungkin kami akan rakam sebagai kenangan untuk Fatima.
“Saya harap semua raikan dan mendoakan yang baik-baik sahaja untuk Fatima. Kalau tiada benda elok nak cakap, hentikan. Jangan ganggu proses ini di mana kami berdua nak ‘co-parenting’ sebaik-baiknya untuk Fatima.
“Harap tiada lagi sesiapa di luar sana mencampuri atau mengganggu niat baik kami demi keharmonian Fatima dan yang terlibat ialah mommy Fatima, daddy Fatima dan Fatima sahaja, tiada orang lain,” ujarnya.
Menurut Fazura lagi, segala keputusan dan tindakan yang diambil selepas ini adalah demi kebahagiaan anak mereka, bukannya untuk memenuhi kehendak atau pandangan mana-mana pihak.
“Saya adalah ibu tunggal dan bekerja. Saya perlu besarkan anak saya dengan mental yang baik dan ketenangan. Tolong jangan ganggu saya lagi. Cukuplah, saya dah lalui terlalu banyak.
“Tidak kira apa pun terjadi, bermula sekarang saya dan Fatima akan sentiasa berdua untuk mengharungi semuanya. Biarkan saya membesarkan Fatima sebaik-baiknya, dengan tenang dan harmoni.
“Ingatlah bahawa jodoh, ajal dan maut semuanya Allah yang tentukan. Saya harap peminat saya dan Fattah Amin dapat terima bahawa sudah tiada jodoh antara kami.
“Saya perlu gembira, sihat dan bekerja untuk besarkan anak sebaik-baiknya. Itu sahaja yang saya harapkan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Fazura turut meluahkan penghargaan kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dirinya dan Fatima sepanjang melalui fasa baharu dalam kehidupan.



