Norreen Iman Ulas Imej Tidak Bertudung – ‘Antara Saya Dengan Allah’

Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman, 32, memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai perubahan penampilan terbaharunya selepas melalui episod perceraian, sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
Norreen berkata, soal kehidupan peribadinya kini bukan lagi sesuatu yang ingin dikongsikan secara terbuka walaupun sedar ramai mengikuti perkembangannya.
“Doakan yang baik-baik untuk saya ya. Semua itu biar antara saya dengan Allah,” katanya ringkas.
Berkongsi mengenai kehidupannya selepas bergelar ibu tunggal, Norreen meluahkan rasa syukur kerana kini menjalani kehidupan yang lebih tenang selain dapat memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.
“Kehidupan saya sekarang alhamduillah, baik semuanya. Apa yang anda semua lihat dalam media sosial itu mungkin rentetan daripada perkara pernah berlaku sebelum ini.
“Kalau hendak tahu perkembangan saya, semuanya baik. Anak saya terjaga, ibu sihat dan saya juga okey, alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norreen mengakui kini lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah hidup di media sosial kerana tidak mahu setiap perkara peribadi menjadi perhatian umum.
“Selain itu, saya rasa terlalu peribadi untuk dibincangkan di depan kamera. Kalau ada yang anda baca dalam Threads, biarlah kekal dalam Threads sahaja.
“Saya bukanlah terlalu terbuka untuk berkongsi apa sebenarnya sedang berlaku dalam hidup sekarang. Cukuplah sekadar apa yang perlu diketahui,” katanya.
Terdahulu, Norreen disahkan bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Mohd Razzi Abd. Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Mei lalu.
Pelakon itu turut mendedahkan lafaz cerai sebenarnya telah berlaku sejak penghujung tahun lalu dan kini sudah selesai menjalani tempoh idah.
Selepas hampir 15 tahun melayari alam rumah tangga, mereka memilih untuk berpisah secara baik serta mengekalkan hubungan sebagai ibu bapa demi kebajikan dua cahaya mata mereka.



