Menjelang Konsert Mangu, Waspada Jualan Tiket Palsu!

Jualan tiket Konsert Mangu di Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Ogos ini kini berada pada tahap ‘kritikal’ apabila kebanyakan kategori tiket hampir habis dijual.
Penganjur, Rockstage Entertainment, mengeluarkan notis panggilan terakhir kepada peminat muzik tempatan dan serantau supaya segera mendapatkan tiket sebelum jualan ditutup selepas menerima sambutan luar biasa sejak jualan digital dibuka.
Menurut penganjur, momentum jualan yang memberangsangkan menyaksikan beberapa zon utama termasuk Rock Zone dan tempat duduk premium hampir kehabisan tiket, sekali gus dijangka memenuhi kapasiti maksimum dewan pada malam persembahan.
Konsert itu bakal menampilkan Ari Lesmana yang akan mempersembahkan himpunan karya popularnya menerusi kolaborasi eksklusif bersama DJ Firza, selain dimeriahkan dengan penampilan khas penyanyi Enau.
MC Millvrd pula diberi tanggungjawab mengendalikan acara sepanjang konsert berlangsung.
Wakil pengurusan Rockstage Entertainment berkata, sambutan diterima membuktikan peminat tempatan terus menyokong penganjuran konsert berkualiti.
“Kami amat terharu dan berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh para peminat setakat ini. Keghairahan yang dizahirkan oleh orang ramai membuktikan bahawa penonton kita amat dahagakan persembahan yang berkualiti tinggi.
“Memandangkan tarikh acara kini berbaki kurang daripada sebulan, kami ingin menasihatkan orang ramai mendapatkan tiket mereka sebelum kaunter jualan ditutup. Kami tidak mahu ada peminat yang kecewa kerana terlepas peluang keemasan ini,” jelasnya.
Pada masa sama, pihak penganjur mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sindiket penipuan atau ulat tiket dan menegaskan hanya pembelian menerusi portal rasmi, myticketempire.com diiktiraf sebagai transaksi sah.
Rockstage Entertainment turut memaklumkan pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian akibat pembelian tiket daripada pihak ketiga.



