Concert

Cakra Khan, Sammy Simorangkir & Idgitaf Antara ‘Line Up’ Ruang Nyaman Fest

Kuala Lumpur: Lima bintang popular Indonesia diketuai Cakra Khan bakal bergabung dengan penyanyi tempatan, Najmi Niery sempena Ruang Nyaman Fest, sempena festival muzik indoor premium yang dilihat sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Festival anjuran Thrive Events itu dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 14 November depan dengan menampilkan Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J dan Pusakata dalam satu pentas tanpa persembahan pembukaan atau artis pengisi.

Konsep itu membolehkan peminat menikmati enam persembahan menerusi satu tiket pada harga lebih berbaloi berbanding menghadiri beberapa konsert solo secara berasingan.

Pengasas Ruang Nyaman Fest, Haqimi Zamri, berkata festival itu diwujudkan bagi menawarkan pengalaman muzik yang berbeza kepada peminat.

“Ruang Nyaman Fest bukan sekadar sebuah konsert,m tetapi pengalaman muzik indoor yang premium, selesa dan padat.

“Kami memilih enam artis yang mempunyai karya dan identiti tersendiri tanpa persembahan ‘selit’, supaya penonton memperoleh pengalaman terbaik dari awal hingga akhir,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Thrive Events, Hamka Mohd Taufik pula berkata, festival itu menawarkan nilai yang sukar diperoleh menerusi penganjuran konsert biasa.

“Dengan satu tiket, peminat dapat menikmati enam persembahan utama pada harga yang lebih mesra berbanding menghadiri beberapa konsert solo secara berasingan.

“Walaupun harga tiket kami mesra peminat, keseluruhan pengalaman yang ditawarkan tetap premium dan eksklusif,” jelasnya.

Pada masa sama, penyertaan Cakra Khan turut mencuri perhatian apabila penyanyi itu sebelum ini mengumumkan hasrat untuk berehat daripada mengadakan persembahan di Malaysia.

Bagaimanapun, menurutnya, konsep festival itu serta peluang berkongsi pentas bersama barisan pemuzik yang dihormatinya membuatkan dia menerima pelawaan berkenaan.

“Selepas mengumumkan untuk berehat daripada membuat persembahan di Malaysia, saya mahu lebih berhati-hati dalam memilih acara. 

“Namun, konsep Ruang Nyaman Fest, barisan pemuziknya dan peluang untuk kembali bertemu peminat Malaysia terlalu menarik untuk saya lepaskan,” tambahnya.

Menurut Cakra, peluang bergabung bersama Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J, Pusakata dan Najmi Niery menjadikan festival itu lebih bermakna.

“Ini ibarat kesempatan emas. Saya sendiri berasa nyaman apabila mendengarkan karya-karya sahabat saya. Apatah lagi apabila kami semua dihimpunkan dalam satu malam di Ruang Nyaman. Ia pasti menarik,” katanya.

Selain Cakra yang terkenal menerusi lagu Harus Terpisah, Kekasih Bayangan dan Mencari Cinta Sejati, Sammy Simorangkir bakal menghiburkan peminat dengan lagu solo popularnya serta beberapa lagu hit Kerispatih seperti Tapi Bukan Aku, Mengenangmu dan Bila Rasaku Ini Rasamu.

Festival itu turut menampilkan Idgitaf, Kaleb J dan Pusakata yang diterajui bekas vokalis Payung Teduh, Mohammad Istiqamah Djamad atau Is, selain memberi peluang kepada Najmi Niery memperkenalkan muziknya kepada kelompok pendengar yang lebih luas.

Tiket dijual pada harga RM249 hingga RM1,699 mengikut kategori dan boleh didapati menerusi MyTicketEmpire.

Related Articles

Back to top button