Gaya Hidup

J.Y Park Tayang Kehidupan Di Rumah Mewah, Ada Gelanggang Bola Keranjang & Kolam Renang

Pengasas JYP Entertainment dan penyanyi terkenal Korea Selatan, J.Y. Park, mendedahkan rutin hariannya serta kehidupan peribadi bersama keluarganya.

Menerusi pratonton episod akan datang rancangan variasi MBC Point of Omniscient Interfere yang disiarkan pada 18 Julai lalu, J.Y. Park dilihat merancang setiap aktiviti hariannya dengan begitu teliti sehingga ke setiap minit, sekali gus mempamerkan gaya hidup yang sangat berdisiplin.

Turut didedahkan dia telah mengekalkan rutin harian yang sama selama 20 tahun. Menurut pengurusnya, J.Y. Park mengamalkan rutin tersebut bagi memastikan dia dapat terus memberikan persembahan terbaik sebagai penyanyi dan penari sehingga berusia 60 tahun.

Penyanyi dan penerbit muzik itu juga didedahkan telah mengamalkan pengambilan minyak tertentu sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatannya sejak dua dekad lalu, selain tidak pernah mengabaikan rutin senaman hariannya.

Dalam rancangan itu, J.Y Park turut dilihat bersenam serta bermain bola keranjang di dalam kawasan rumahnya sendiri.

Namun, selepas melihat kemahirannya bermain bola keranjang, pengacara Jun Hyun Moo sempat bergurau dengan berkata: “Kalau dah ada gelanggang bola keranjang sendiri di rumah, nampaknya jaringan awak masih tak banyak,” katanya.

Dua anak perempuan J.Y. Park turut muncul dalam episod tersebut.

Selepas berkahwin semula pada 2013, beliau dikurniakan dua orang anak perempuan yang lahir dengan jarak usia setahun.

Sebaik memeluk kedua-dua anaknya dengan penuh kasih sayang, J.Y. Park berkata:

“Saya mahu menjadi ayah yang terbaik,” tuturnya.

Anak-anaknya kemudian membalas dengan berkata: “Kami sayang ayah,” sekali gus mencetuskan suasana yang menyentuh hati.

Dia juga dilihat menikmati rutin pagi bersama anak-anaknya, memperlihatkan sisi penyayangnya sebagai seorang bapa.

J.Y. Park difahamkan menetap di Kampung Achuiul, Guri, Wilayah Gyeonggi. Walaupun kawasan itu berada di bawah pentadbiran Bandar Guri, kawasan kediamannya dianggap sebahagian daripada kawasan metropolitan Seoul.

Beberapa selebriti Korea lain seperti pelakon Park Jung Min serta pasangan selebriti Hyun Bin dan Son Ye Jin juga dilaporkan tinggal di kawasan tersebut.

Sebelum ini, anggota DAY6, Young K, pernah berkongsi pengalamannya mengunjungi rumah J.Y. Park selepas dijemput.

“Di dalam rumah itu ada taman permainan. Ada juga kolam renang yang dibahagikan kepada beberapa lorong seperti kolam pertandingan. Semuanya berada di dalam bangunan,” kongsi Young K

Kumpulan Stray Kids pula sebelum ini pernah menggambarkan rumah J.Y. Park sebagai seperti sebuah istana, malah mendedahkan kediaman tersebut turut dilengkapi dengan lif.

Kehidupan harian serta suasana di rumah J.Y. Park akan dipaparkan sepenuhnya menerusi episod Point of Omniscient Interfere yang bakal disiarkan pada 25 Julai ini.

Related Articles

Back to top button