‘Bukan Netizen Kenal Kakak Saya, Biarlah Dia’

Pelakon dan pempengaruh, Imranul Effendy, 27, enggan mengulas lanjut mengenai perubahan imej rakan baiknya, Norreen Iman yang mencetuskan perhatian ramai baru-baru ini, sebaliknya memilih untuk menghormati privasi aktres itu.
Imranul, berkata, Norreen yang dianggap seperti kakaknya banyak berjasa dalam perjalanan awal kerjayanya dalam industri seni, justeru dia tidak berhak mencampuri urusan peribadi pelakon dan pempengaruh itu.
“Saya cuma nak cakap kakak saya, Norreen Iman adalah seorang individu yang sangat baik.
“Dia adalah individu yang membantu saya dalam perjalanan saya masuk industri ini daripada kosong kepada seseorang dikenali.
“Untuk saya nak kupas isu dia, saya rasa saya tak berhak sebab itu adalah soal peribadi dia dan saya sendiri hormati apa-apa keputusan dia.
“Saya rasa apa yang dia buat adalah terbaik untuk dia dan saya cuma nak doakan yang terbaik buat dia dan keluarga, itu saja,” katanya.
Mengulas sama ada Norreen pernah berkongsi atau meluahkan isi hati mengenai perkara itu kepadanya, Imranul memilih untuk berahsia.
“Kongsi itu biarlah saya dengan dia (tahu),” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Imranul turut mengakui dia tidak terkesan dengan pelbagai kritikan yang dilemparkan netizen terhadap Norreen kerana lebih mengenali keperibadian sebenar wanita berkenaan.
“Tak terkesan sebab saya kenal kakak saya sendiri jadi saya tak terkesan pun apa yang orang cakap.
“Biarlah orang nak cakap apa. Bukan netizen yang kenal kakak saya, biarlah dia. Saya okey saja. Mulut orang kita tak boleh nak tutup,” ujarnya.
Sebelum ini, Norreen menjadi perhatian apabila tampil dengan imej baharu tanpa bertudung menerusi satu hantaran di Instagram.
Malah, pelakon itu turut muncul dengan gaya rambut pendek yang diwarnakan perang sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.



