Trending

‘Ramai Cuba Mendekati’ – Dr Fie

Pempengaruh media sosial, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 37, mengakui gelaran “janda kuat melaram” yang sering dilemparkan segelintir pihak terhadap dirinya memberi tekanan, malah turut memberi kesan kepada kerjaya dan kehidupan sebagai ibu tunggal.

Afifah atau mesra disapa Dr. Fie, berkata, stigma negatif masyarakat terhadap ibu tunggal menyebabkan mereka mudah dipandang serong hanya kerana gemar menjaga penampilan.

“Itu sebenarnya satu tekanan. Bila orang nampak ibu tunggal yang suka berhias dan bersiap, ada yang cepat menjatuhkan hukuman.

“Kami hanya mahu meneruskan kehidupan dan mencari rezeki untuk anak-anak. Kami tidak menyusahkan orang, tetapi memang agak kurang selesa.

“Kata-kata sebegini juga boleh mengganggu urusan pekerjaan, lebih-lebih lagi saya berniaga,” katanya.

Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan itu berkata, statusnya sebagai ibu tunggal turut menyebabkan ramai lelaki cuba mendekatinya dengan pelbagai alasan sehingga membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menerima kehadiran orang baharu.

“Ramai juga cuba mendekati saya dengan pelbagai cara sehingga saya tidak tahu siapa yang benar-benar ikhlas.

“Ada yang datang ke tempat saya dengan alasan mahu menghantar makanan, tetapi pada masa sama mencari saya. Perkara seperti itu membuatkan saya perlu lebih berhati-hati,” ujarnya.

Dalam masa sama, Dr. Fie berkata, episod perceraian bukanlah pengakhiran hidup, sebaliknya menjadi titik tolak untuknya bangkit membina kehidupan lebih baik demi masa depan anak-anak.

“Bagi saya, titik terendah itu adalah satu permulaan untuk saya bangkit. Sebagai wanita, bukan diri sendiri sahaja yang perlu difikirkan tetapi anak-anak juga bergantung kepada kita.

“Saya tidak mahu menyusahkan bekas suami kerana sekarang ibunya sedang sakit. Biarlah dia fokus menjaga ibunya manakala saya fokus menjaga anak-anak.

“Walaupun tiada perbincangan khusus, saya rasa kami masih boleh bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Menyentuh soal jodoh, Dr. Fie berkata, dia tidak menolak sekiranya dipertemukan dengan insan yang sesuai, namun mengakui kini lebih mengutamakan ketenangan dalam hidup.

“Sementara belum ada yang melamar, saya akan ‘go all out’ dengan kerja. Kalau sudah ada yang melamar nanti, lain ceritalah.

“Saya terbuka kalau ada yang datang, tetapi kalau boleh bukan dari industri hiburan. Sekarang saya cuma mahukan kehidupan yang tenang dan lelaki yang lebih matang,” katanya.

Dr. Fie dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada Ogos 2015 sebelum bercerai talak dua pada 2 Disember 2025.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayillle, 3.

Related Articles

Back to top button