Ingat Kena Saman, Pelajar Terharu Terima Nota Tahniah Terima Anugerah Dekan

Seorang pelajar universiti yang pada mulanya menyangka dia menerima saman parkir akhirnya dikejutkan dengan satu kejutan manis apabila mendapati kertas tersebut sebenarnya merupakan nota ucapan tahniah daripada seorang individu yang tidak dikenali.
Pelajar yang dikenali sebagai @fnieyyy di Threads berkongsi bahawa dia singgah ke sebuah restoran untuk menikmati hidangan sebagai ganjaran kecil kepada dirinya selepas berjaya menerima Anugerah Dekan
Namun, sebaik kembali ke keretanya, dia ternampak sekeping kertas yang diselitkan pada cermin hadapan dan terus menyangka ia adalah surat saman.
Apa yang lebih mengejutkan, kertas itu sebenarnya merupakan nota tulisan tangan daripada seorang individu yang mengucapkan tahniah atas pencapaian akademiknya.
“Keluar saja dari kedai, saya ingat surat saman. Tak sangka rupanya ada orang tulis nota ini. Terima kasih, orang yang tak dikenali! Semoga setiap lampu isyarat yang awak lalui sentiasa hijau,” tulisnya.
Pelajar itu turut berkongsi gambar nota berkenaan yang berbunyi: “Hai awak, tahniah kerana berjaya masuk Senarai Dekan. Semoga awak sentiasa berjaya.”
Dalam satu hantaran susulan, dia turut memuat naik rakaman reaksinya selepas menemui nota tersebut.
“Ini reaksi saya. Saya tak rakam dari jauh sebab saya ingat itu surat saman saja hahaha. Oh ya, kepada yang kata ini cuma fakulti seni, jom masuk fakulti seni,” katanya.
Perkongsian yang menyentuh hati itu pantas tular di media sosial dan akhirnya menarik perhatian individu yang menulis nota berkenaan.
Individu tersebut kemudian tampil di ruangan komen dan menjelaskan bahawa mereka kebetulan meletakkan kenderaan bersebelahan kereta pelajar itu sebelum ternampak sijil Senarai Dekan miliknya.
“Hai! Saya yang tulis nota tadi. Kami kebetulan parkir sebelah kereta awak. Adik saya siap cari kertas dan pen supaya saya boleh tulis nota itu.
“Malah, pak cik yang berdiri dekat kereta awak pun ingat itu surat saman. Maaf sebab buat awak panik!
“Apa-apa pun, tahniah sekali lagi daripada kami!” tulisnya.
Ramai netizen tersentuh dengan kebaikan individu tersebut dan memuji usaha yang dilakukan semata-mata untuk memberi kata-kata semangat kepada orang lain.
Seorang netizen berkata, dia kagum kerana individu itu sanggup mencari kertas dan pen, menulis nota dengan teliti serta menghiasnya dengan lukisan hati kecil.
Seorang lagi pula berseloroh bahawa detik menyentuh hati itu kini menjadi motivasi baharunya untuk berusaha sehingga berjaya memasuki Senarai Dekan.



