BTS Himpun 130,000 Peminat Di London, Pecah Rekod Stadium Tottenham Hotspur

Kumpulan sensasi K-Pop, BTS, berjaya menghimpunkan kira-kira 130,000 peminat menerusi dua konsert yang habis dijual di London.
Konsert yang merupakan sebahagian daripada BTS World Tour: Arirang in London itu berlangsung pada 6 dan 7 Julai lalu di Stadium Tottenham Hotspur.
Menurut penganjur, Live Nation, BTS turut mencipta rekod kehadiran penonton paling ramai bagi setiap persembahan sejak stadium tersebut dibuka pada April 2019.
Konsert itu berlangsung tujuh tahun selepas BTS mencipta sejarah sebagai artis Korea pertama yang mengadakan konsert solo di Stadium Wembley pada tahun 2019.
Sepanjang persembahan, BTS menyampaikan lagu-lagu daripada album penuh kelima mereka, Arirang, termasuk Hooligan, Body to Body dan Swim, selain mempersembahkan lagu popular seperti Idol dan Fire.
“Kami merasakan emosi yang sama seperti ketika mengadakan konsert di Stadium Wembley tujuh tahun lalu,” ujar mereka.
Konsert itu turut menerima ulasan positif daripada media tempatan.
Akhbar The Times memberikan penarafan empat daripada lima bintang sambil menyifatkan muzik yang dipersembahkan sebagai menegangkan dan ketagihan pada masa yang sama.
BTS akan meneruskan siri jelajah Eropah mereka menerusi dua konsert di Munich, Jerman pada 11 dan 12 Julai depan.



