Adam Corrie Tepis Dakwaan Industri Seni ‘Lubuk Maksiat’

Pelakon, Adam Corrie Lee, 58, menegaskan tanggapan yang melabel industri seni sebagai tempat maksiat adalah tidak tepat kerana dosa dan pahala seseorang bukan ditentukan oleh bidang pekerjaan, sebaliknya bergantung kepada amalan serta pilihan individu.
Menurut Adam, baik atau buruk seseorang bukan ditentukan oleh bidang pekerjaan yang diceburi, sebaliknya bergantung kepada pilihan, sikap dan amalan individu itu sendiri.
Katanya, industri seni juga berperanan menyampaikan pelbagai mesej bermanfaat kepada masyarakat, termasuk mengangkat kisah sejarah, kehidupan serta peristiwa sebenar menerusi karya yang dihasilkan.
“Kalau industri kreatif ini maksiat, apa yang maksiatnya? Kita buat cerita mengenai peperangan atau kisah yang diangkat daripada kejadian sebenar.
“Dosa atau tidak dosa itu terpulang kepada diri individu itu sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu dalam podcast Nanord Studio.
Dalam pada itu, Adam menjelaskan kebanyakan syarikat produksi kini turut mengambil berat soal kebajikan rohani warga kerja dengan menyediakan kemudahan untuk menunaikan ibadah sepanjang penggambaran.
Jelasnya, pelakon dan kru diberi ruang untuk menunaikan solat, malah ada lokasi penggambaran yang dilengkapi surau bagi memudahkan urusan mereka.
“Contohnya apabila menjalani penggambaran cerita peperangan, pihak produksi menyediakan surau di lokasi.
“Terpulang kepada kita sama ada mahu solat, termasuk solat sunat. Semua itu bergantung kepada diri sendiri,” kongsi Adam.
Berkongsi rutin yang diamalkannya, Adam berkata dia sentiasa memastikan diri tiba lebih awal di lokasi penggambaran supaya mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan, termasuk melaksanakan ibadah sebelum memulakan tugas.
“Sebab itu saya selalu sampai awal di set. Bila datang awal, saya boleh melakukan banyak perkara.
“Saya boleh makan, menunaikan solat sunat atau solat dhuha terlebih dahulu sebelum bekerja,” ujarnya.
Adam turut mengingatkan bahawa solat merupakan tanggungjawab peribadi setiap Muslim kepada Allah SWT dan tidak seharusnya diukur berdasarkan amalan orang lain.
“Solat ini sebenarnya untuk diri kita, bukan untuk orang lain. Di akhirat nanti Allah akan tanya mengenai solat kita sahaja. Bukan tanya mengenai kawan kita,” katanya.



